Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Indonesia sedang memantau peningkatan kes COVID-19 di beberapa negara Asia termasuk Singapura, Thailand dan Hong Kong, namun memberi jaminan bahawa situasi dalam negara kekal terkawal.
Peningkatan kes berlaku seiring peningkatan mobiliti awam, dengan ramai rakyat Indonesia ke luar negara bagi menghadiri acara antarabangsa termasuk jelajah konsert Lady Gaga yang bermula pada 18 Mei.
Jurucakap kementerian, Aji Muhawarman berkata data sehingga minggu ke-19 tahun 2025 menunjukkan penularan COVID-19 di Indonesia masih berada dalam paras selamat.
“Walaupun terdapat trend peningkatan global, situasi dalam negara stabil. Kami sedang mempertingkat pemantauan penyakit melalui pengawasan sentinel dan saringan di pintu masuk antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Aji, Singapura mencatat peningkatan kes disebabkan corak bermusim, dengan subvarian dominan JN.1 tidak dikaitkan dengan gejala lebih teruk.
Walaupun Indonesia belum melaksanakan kawalan sempadan yang lebih ketat, pemantauan di pintu masuk antarabangsa telah dipertingkat melalui sistem SatuSehat Health Pass (SSHP).
Tiada larangan perjalanan dikenakan setakat ini, namun kementerian menasihatkan orang ramai agar berwaspada, terutamanya ketika mengunjungi negara yang mencatat peningkatan jangkitan.
“Pelancong perlu mematuhi protokol kesihatan tempatan, sentiasa peka terhadap perkembangan semasa, dan menangguhkan perjalanan tidak penting jika kurang sihat,” katanya.
Kementerian terus menggalakkan langkah pencegahan seperti membasuh tangan, memakai pelitup muka apabila bergejala dan mendapatkan rawatan bagi simptom jangkitan pernafasan.
Vaksin penggalak COVID-19 masih disyorkan kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
“Tiada sebab untuk panik, tetapi kewaspadaan tetap penting bagi memastikan Indonesia kekal selamat,” tambah Aji.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial