DUNIA > BERITA

KOREA SELATAN, AS ADAKAN PUSINGAN KEDUA PERBINCANGAN TEKNIKAL TARIF DI WASHINGTON MINGGU INI

19/05/2025 05:37 PM

SEOUL, 19 Mei (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) dijadual mengadakan pusingan kedua perbincangan teknikal di Washington minggu ini berhubung pelaksanaan dasar tarif menyeluruh oleh AS, ketika kedua-dua pihak berusaha memuktamadkan perjanjian "pakej" menjelang awal Julai, lapor Agensi Berita Yonhap.

Delegasi Korea Selatan dijangka berlepas ke Washington sekitar Selasa untuk menyertai rundingan itu yang berkemungkinan bermula seawal Selasa waktu AS, menurut kenyataan Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga pada Isnin.

Kedua-dua pihak akan membincangkan enam bidang utama berkaitan perdagangan, iaitu ketidakseimbangan dagangan, langkah bukan tarif, keselamatan ekonomi, perdagangan digital, negara asal bagi produk, serta pertimbangan komersial.

Bulan lalu, AS memulakan pelaksanaan tarif balas ke atas negara rakan dagang, termasuk mengenakan duti sebanyak 25 peratus ke atas Korea Selatan, namun kemudiannya menangguhkannya bagi memberi ruang kepada rundingan dua hala.

Susulan itu, Seoul dan Washington bersetuju untuk berusaha mencapai perjanjian menjelang 8 Julai, iaitu sebelum tempoh 90 hari penggantungan tarif oleh Presiden Donald Trump tamat.

Selepas pusingan pertama perbincangan teknikal diadakan di Washington awal bulan ini, Menteri Perindustrian Ahn Duk-geun dan Menteri Perdagangan Cheong In-kyo masing-masing turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Wakil Perdagangan AS (USTR), Jamieson Greer di Pulau Jeju minggu lalu, dengan mereka mengulangi permintaan agar Korea Selatan dikecualikan sepenuhnya daripada tarif itu.

“Kami sedang memantau rapat perkembangan ini kerana ada kemungkinan pihak AS akan mengemukakan tuntutan khusus berkaitan tarif dan kerjasama ekonomi dalam sesi rundingan akan datang.

“Kami perlu kenal pasti dahulu tuntutan AS sebelum memulakan perbincangan dalaman yang sewajarnya,” kata seorang pegawai kementerian.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan