DUNIA > BERITA

MALAYSIA GARISKAN AGENDA BERANI UNTUK PUIC MENGENAI BELIA, INOVASI DAN KEADILAN

14/05/2025 10:04 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 14 Mei (Bernama) -- Malaysia menyeru Kesatuan Parlimen Negara Anggota OIC (PUIC) supaya berkembang menjadi sebuah institusi yang lebih berorientasikan tindakan, dengan memberi penekanan terhadap kepimpinan beretika, penyertaan belia dan kerjasama Selatan-Selatan yang bermakna.

Dalam ucapannya sempena Ulang Tahun ke-25 PUIC di sini pada Rabu,  Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menyeru ahli Parlimen tidak sekadar menjalankan peranan simbolik sebaliknya mengamalkan agenda berprinsip yang berpandangan ke hadapan.

“Ini adalah seruan untuk bertindak – memimpin dengan integriti, mentadbir dengan belas kasihan dan membina institusi yang mampu menghadapi sebarang cabaran,” katanya dalam ucapan pembukaan, menurut teks yang disediakan oleh pejabat beliau.

Malaysia mencadangkan beberapa mekanisme baharu bagi merancakkan semula kerjasama PUIC, termasuk penubuhan Dana Kerjasama Selatan-Selatan PUIC bagi menyokong projek pembangunan utama dalam bidang pertanian, ekonomi digital dan tenaga bersih.

Menurut Johari, dengan menggalakkan dialog dan kerjasama, Parlimen boleh membantu untuk memperkukuh perkongsian serantau serta menyokong pembangunan mampan dalam kalangan negara anggota OIC, sekali gus mengubah perpaduan kepada hasil yang konkrit dan berkekalan.

Beliau turut menggariskan visi untuk Pertukaran Pengetahuan dan Inovasi bagi menghubungkan penyelidik, institusi dan ahli Parlimen di seluruh dunia Islam, dengan tumpuan terhadap kelompok industri halal, kewangan Islam dan kerjasama agroteknologi.

Sebagai usaha memperkukuh penglibatan belia, Malaysia mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Hal Ehwal Belia PUIC dan Akademi Kepimpinan Parlimen bagi melatih generasi baharu pemimpin yang beretika dan dan mempunyai kesedaran sivik.

“Masa depan ummah tidak akan diwarisi, ia mesti dipupuk,” katanya sambil menekankan pentingnya tadbir urus yang inklusif.

Mengenai isu Palestin, Johari menegaskan semula sokongan berterusan Malaysia dan menyeru tindakan yang lebih daripada sekadar kenyataan simbolik dan menggesa PUIC merumuskan tindak balas yang diselaraskan dan berkesan terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan.

“Bagi Malaysia, ini bukan perkara baharu. Sejak kemerdekaan kami pada 1957, kami telah berdiri teguh bersama rakyat Palestin – melalui setiap kerajaan, merentasi setiap generasi,” katanya.

Beliau menambah bahawa PUIC mesti membantu mengubah naratif global ke arah keadilan dan kedaulatan, menyeru tindakan kolektif untuk menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Johari turut menyeru PUIC agar menjadi pemangkin harapan, benteng keadilan dan pembela maruah di seluruh dunia Islam sambil menegaskan, “Malaysia bersedia – untuk bekerjasama, memimpin bersama dan melaksanakan.”

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan