DUNIA > BERITA

“PRESIDEN TERMISKIN DUNIA” JOSE MUJICA MENINGGAL DUNIA PADA USIA 89 TAHUN

14/05/2025 03:23 PM

MONTEVIDEO, 14 Mei (Bernama-dpa) -- Jose Mujica bekas Presiden Uruguay dan ikon global kesederhanaan dalam politik, meninggal dunia pada usia 89 tahun, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Presiden Uruguay Yamandu Orsi, mengumumkan pemergian Mujica pada Selasa.

“Kami akan sangat merindui kamu, insan yang amat dikasihi. Terima kasih atas segala yang diberikan kepada kami dan atas kasih sayang mendalammu terhadap rakyat,” kata Orsi dalam satu hantaran di platform media sosial X.

Bekas presiden itu sekian lama berjuang melawan kanser esofagus, yang telah merebak dan tidak lagi dirawat.

Mujica menjadi Presiden negara kecil Amerika Selatan itu dari 2010 hingga 2015.

Bekas pejuang gerila itu mendapat perhatian dunia kerana gaya hidupnya yang sederhana, sehingga digelar “presiden termiskin di dunia” dan menjadi tokoh yang dihormati dalam kalangan haluan kiri Amerika Latin.

Di bawah kepimpinannya, Uruguay mengalami pertumbuhan ekonomi dan pengurangan kadar kemiskinan.

Mujica melaksanakan pelbagai pembaharuan sepanjang pemerintahannya, termasuk menerima bekas tahanan Guantanamo sebagai pelarian. Beliau juga memulakan penggubalan undang-undang yang menghalalkan ganja untuk kegunaan rekreasi, menjadikan Uruguay negara pertama di dunia yang berbuat demikian.

Sepanjang tempoh beliau memegang jawatan, Mujica mendermakan sebahagian besar gajinya kepada badan kebajikan, tinggal di sebuah rumah ladang di pinggir bandar Montevideo dan memandu sebuah kereta VW Beetle usang.

Dalam satu wawancara pada Januari bersama akhbar mingguan Busqueda, beliau berkata: “Saya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada rakyat negara ini. Asas demokrasi adalah menghormati mereka yang berfikiran berbeza. Saya menghargai semua orang.”

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan