DUNIA > BERITA

PRESIDEN XI ADAKAN RUNDINGAN DENGAN PRESIDEN BRAZIL

14/05/2025 03:28 PM

BEIJING, 14 Mei (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Brazil Luiz Inácio Lula da Silva di sini, pada Selasa.

Xi berkata sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Brazil pada tahun lepas, kedua-dua negara mengumumkan untuk melonjakkan hubungan dua hala ke tahap komuniti berkongsi nasib China-Brazil demi dunia yang lebih adil dan planet yang lebih mampan. Keputusan strategik itu sekali gus merangka cetak biru hubungan China-Brazil bagi jubli emas yang seterusnya.

Xi berkata, berdiri di titik permulaan baharu dalam sejarah, China dan Brazil hendaklah mempertahankan kepercayaan strategik, saling menyokong dalam isu yang membabitkan kepentingan teras dan keprihatinan kedua-dua negara.

Sementara itu, menurut Xi, kedua-dua negara perlu memperkasakan kerjasama, meningkatkan pemadanan antara inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan strategi pembangunan Brazil, meningkatkan kerjasama dalam sektor infrastruktur, pertanian dan tenaga, di samping meneroka ruang kerjasama baharu dalam bidang transformasi tenaga, aeroangkasa, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI).

Xi turut menekankan pentingnya bagi kedua-dua negara untuk mengekalkan pertukaran kebudayaan dan mempertahankan koordinasi pelbagai hala.

Presiden Lula mengatakan bahawa kejayaan China dalam menghapuskan kemiskinan amat mengagumkan, dan pihaknya bersedia menimba pengalaman China bagi membolehkan lebih ramai rakyatnya keluar dari kemiskinan dan kelaparan.

Dalam situasi antarabangsa semasa ini, menurut Lula, adalah amat penting untuk mempertahankan multilateralisme.

Proteksionisme dan langkah mengenakan tarif sesuka hati tidak akan membawa pembangunan dan kemakmuran, sebaliknya akan mengakibatkan kekacauan.

Oleh itu, menurut Lula, sikap China dalam mengendalikan cabaran global memberikan kekuatan dan keyakinan kepada pelbagai negara. Brazil bersedia meningkatkan kerjasama strategik dengan China dalam urusan antarabangsa, memelihara bersama kepentingan Selatan Global serta kesamarataan dan keadilan antarabangsa.

Setelah rundingan itu, kedua-dua pemimpin turut menyaksikan penandatanganan 20 dokumen kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pemadanan strategi, sains dan teknologi, pertanian, ekonomi digital, kewangan, kuarantin, media dan lain-lain.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan