Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 11 Mei (Bernama) -- Pelancong asing di Thailand menyertai penduduk tempatan pada Ahad untuk memperingati Hari Visakha Bucha (Hari Wesak), iaitu hari memperingati kelahiran, pencerahan dan Parinirvana (kewafatan) Siddhartha Gautama, pengasas agama Buddha.
Ramai pelancong dilihat mengunjungi kuil Buddha yang menjadi lokasi utama aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan sempena sambutan ini.
Hsu, 33, seorang pelancong dari Taiwan yang bercuti di Bangkok, berkata beliau mengikuti saranan pemandu pelancongnya untuk melawat kuil di sekitar bandar itu.
Beliau meluahkan keterujaannya selepas mengunjungi Wat Paknam Phasi Charoen, sebuah kuil terkenal yang terletak berhampiran Sungai Chao Phraya.
“Pada pandangan saya, rakyat Thai sangat bersemangat dan berpegang teguh pada ajaran Buddha. Saya rasa negara ini lebih mendalami amalan Buddha berbanding Taiwan. Saya juga melihat banyak azimat Buddha antik di kuil ini,” katanya ketika ditemui di Wat Paknam.
Hsu, dari Taipei, yang pertama kali melawat Thailand, berkata beliau berasa kagum menyaksikan suasana istimewa sambutan itu, dengan bacaan mantera oleh sami dan penganut bergema di seluruh kuil.
Terdapat lebih 40,000 wat (kuil Buddha) di seluruh Thailand, dan kelibat sami berjubah kuning keperangan merupakan pemandangan biasa sepanjang musim perayaan ini.
Seorang lagi pelancong, Mohammed Rafiq, 25, dari Iraq, berkata beliau dan isterinya memilih untuk mengunjungi kuil di Thailand selepas mendapat cadangan daripada penduduk tempatan.
Beliau melahirkan rasa kagum terhadap seni bina kuil yang rumit serta ketelitian pada reka bentuk dan ukiran yang terdapat di dalamnya.
“Inilah kali pertama kami ke Thailand, dan kami rasa sangat teruja menyaksikan ramai penganut Buddha membaca mantera dan melakukan amal di kuil tempatan,” katanya.
Walaupun cuaca panas dan lembap, Rafiq berkata beliau dan isterinya tetap merancang untuk mengunjungi beberapa lagi kuil di Bangkok bagi mengagumi keindahan seni bina dan warisan kebudayaan tempatan.
Antara kuil paling kerap dikunjungi sempena Hari Wesak tahun ini termasuk Wat Paknam, Wat Saket, Wat Phra Kaew, Wat Arun, Wat Pho dan Wat That Thong.
Hari Wesak merupakan antara perayaan kebangsaan utama di Thailand, disambut oleh penganut Buddha dengan mengunjungi kuil untuk berdoa dan melakukan amalan kebajikan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial