DUNIA > BERITA

PEMIMPIN JERMAN, PERANCIS, POLAND DAN UK BERADA DI KYIV UNTUK PERBINCANGAN DAMAI

10/05/2025 05:59 PM

MOSCOW, 10 Mei (Bernama-Anadolu) -- Pemimpin Jerman, Perancis, Poland dan United Kingdom (UK) tiba di Kyiv pada Sabtu untuk perbincangan dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Canselor Jerman Friedrich Merz, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Perdana Menteri Poland Donald Tusk dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer, memilih perkhidmatan kereta api untuk melakukan perjalanan ke ibu negara Ukraine itu.

Mereka disambut oleh ketua Pejabat Presiden Andriy Yermak dan Menteri Luar Andriy Sybiha, menurut laporan media tempatan.

Presiden Perancis Macron, kemudiannya berkongsi gambar bersama Merz, Starmer, dan Tusk di X.

Pada hari sebelumnya, beliau menegaskan komitmennya untuk “mewujudkan perdamaian yang berkekalan” di Ukraine.

Negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) sedang mengusahakan draf cadangan bagi gencatan senjata selama 30 hari dalam konflik Rusia-Ukraine yang kini memasuki tahun keempat.

Bagaimanapun, sumber berkata rancangan itu masih belum mendapat kelulusan penuh, dengan perbincangan dijangka berterusan dalam pertemuan pada Sabtu di Kyiv.

Presiden Rusia Vladimir Putin telah menyatakan sokongan bersyarat terhadap cadangan gencatan senjata itu.

Namun, beliau memberi amaran bahawa Ukraine mungkin akan menggunakan tempoh gencatan senjata untuk mengukuhkan posisi tenteranya dan menekankan bahawa sebarang perjanjian mesti termasuk menghentikan bekalan senjata dari Barat.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan