BEIJING 8 Mei (Bernama-CMG) -- Laluan Kereta Api China-Laos terus memperkukuh peranannya sebagai rangkaian logistik utama bagi perdagangan buah-buahan antara Asia Tenggara dan China, dengan peningkatan ketara dalam jumlah penghantaran sejak awal tahun ini.
Baru-baru ini, jumlah penghantaran buah-buahan tropika seperti durian dan manggis dari Thailand, Malaysia dan Laos yang melalui laluan berkenaan terus meningkat, dengan purata melebihi 2,000 tan setiap hari, sekali gus mencatat rekod baharu.
Dalam tempoh dari akhir April hingga awal Mei, sebanyak 20,000 tan buah-buahan telah diangkut melalui Stesen Vientiane Selatan, sekali gus mengukuhkan peranan strategik laluan ini dalam mempertingkat perdagangan serantau.
Permintaan tinggi dalam kalangan pengguna China terhadap buah-buahan tropika segar dapat dipenuhi melalui perkhidmatan ekspres yang berlepas dari Thailand atau Laos dan tiba di China dalam tempoh masa yang singkat.
Seiring dengan peningkatan berterusan jumlah kargo, industri logistik di sekitar Stesen Vientiane Selatan turut menikmati peluang pembangunan yang pesat.
Selain itu, kemakmuran perdagangan buah-buahan dilaporkan mendorong pertumbuhan pelbagai industri sampingan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tempatan, dan menyumbang secara positif kepada landskap ekonomi serantau.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial