DUNIA > BERITA

XI MULAKAN LAWATAN RASMI KE RUSIA

08/05/2025 04:33 PM

MOSCOW 8 Mei (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping tiba di Moscow dengan pesawat khas pada malam Rabu bagi memulakan lawatan rasmi ke Rusia bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 Hari Kemenangan atau dikenali “Den Pobedy” yang diraikan pada 9 Mei setiap tahun.

Ketibaan beliau disambut mesra oleh pegawai kanan kerajaan Rusia, termasuk Timbalan Perdana Menteri Tatyana Golikova.

Dalam ucapan bertulis yang disampaikan atas nama kerajaan dan rakyat China, Xi menghulurkan salam mesra dan ucapan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Rusia.

Xi menyatakan bahawa China dan Rusia merupakan jiran baik yang tidak dapat dipisahkan, sahabat sejati yang saling membantu, serta rakan kongsi yang maju bersama-sama.

Kedua-dua pihak berjaya merintis satu laluan yang tepat untuk menyemarakkan semangat kejiranan antara dua negara kuasa besar dan kerjasama strategik pada era baharu.

"Hubungan China-Rusia yang berdikari, mantap dan kukuh bukan sahaja membawa manfaat besar kepada peningkatan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, malah menyumbang secara signifikan kepada usaha memelihara kestabilan strategik dalam senario global serta mendorong dunia multipolar yang lebih adil dan teratur.

"Tahun ini ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Patriotik Agung Kesatuan Soviet dan ulang tahun ke-80 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“China dan Rusia selaku dua negara kuasa besar di dunia dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB akan terus mempertahankan pencapaian hasil Perang Dunia II, memperkasakan amalan multilateralisme yang sebenar, mendorong usaha untuk membentuk sistem tadbir urus global yang lebih adil dan rasional.

“Saya akan bersama Presiden Vladimir Putin bagi mengadakan perbincangan yang mendalam mengenai hubungan dua hala, kerjasama substantif termasuk isu antarabangsa dan serantau yang menjadi kepentingan bersama, demi menggerakkan momentum yang kukuh ke arah pengukuhan Perkongsian Strategik Komprehensif untuk Koordinasi Era Baharu China-Rusia,” kata Xi.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan