DUNIA > BERITA

PENCAPAIAN NDB CERMINKAN KEJAYAAN MEKANISME KERJASAMA BRICS

06/05/2025 02:37 PM

SHANGHAI 6 Mei (Bernama-CMG) -- Presiden Bank Pembangunan Baharu (NDB), Dilma Rousseff menyifatkan pertemuannya dengan Presiden China Xi Jinping baru-baru ini sebagai amat produktif, dengan kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju pembangunan bank itu untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Kedua-dua kami telah membincangkan rancangan perkembangan Bank Pembangunan Baharu (NDB) untuk sedekad yang akan datang yang disifatkan Xi sebagai 'sedekad emas' kedua.

“Selain itu, Xi juga memberi panduan dan cadangan kepada NDB,” kata Rousseff dalam temu bual bersama wartawan Kumpulan Media China (CMG).

Presiden Xi berharap agar NDB terus mengekalkan visi dan misi yang dilaksanakan selama ini, iaitu komited dalam memberikan perkhidmatan kepada negara Selatan Global terutamanya kepada negara anggota BRICS dalam bidang pelaburan dan pembangunan, katanya.

Rousseff berkata, fokus utama NDB ialah pelaburan dalam projek perintis yang menyokong pembaharuan dan pembangunan negara membangun serta ekonomi baharu seperti infrastruktur, logistik, kemudahan awam, digitalisasi serta inovasi sains dan teknologi yang merangkumi bidang perindustrian, pertanian dan perkhidmatan demi mendorong transformasi dan pembangunan negara.

"NDB wujud sebagai satu projek ikonik hasil mekanisme kerjasama antara pelbagai negara anggota BRICS.

“Setakat ini, kami telah meluluskan kira-kira 120 projek dengan jumlah pelaburan keseluruhan mencecah US$40 bilion (RM170 bilion).

“Kami yakin bahawa pencapaian China dan model pembangunannya boleh dijadikan rujukan yang berkesan, yang boleh diikuti negara lain untuk mencapai kemajuan,” kata Rousseff.

Mengulas mengenai peluasan keanggotaan NDB, beliau berkata bank itu kini menerima anggota baharu selain lima negara pengasas — Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan — termasuk Mesir, Bangladesh dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kami masih mahu menerima lebih banyak ahli baharu, dengan Algeria dan Uruguay yang sudah mendapat kelulusan berkenaan," katanya.

Ketika membicarakan tentang prospek terhadap pembentukan orde hubungan antarabangsa baharu pada masa hadapan, Rousseff berkata, "Saya percaya bahawa kita mampu membina sebuah dunia baharu, iaitu dunia yang berasaskan orde pelbagai hala dan kerjasama yang lebih erat."

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan