DUNIA > BERITA

UNICEF SERU TINDAKAN SEGERA LINDUNGI HAK KANAK-KANAK DI TENGAH KRISIS IKLIM DAN DIGITAL

06/05/2025 02:01 PM

Oleh Nabilah Saleh

PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Di beberapa bahagian Asia Timur dan Pasifik, pengalaman zaman kanak-kanak kini berubah dalam cara yang seharusnya mencabar setiap pembuat dasar.

Jika sebelum ini cabaran utama mereka adalah bilik darjah sesak atau kekurangan akses kepada air bersih, ancaman hari ini jauh lebih kompleks - bencana iklim melanda berkali-kali setahun, buruh kanak-kanak masih berlaku akibat ketidaktentuan ekonomi dan ruang digital kini menjadi medan bahaya baharu.

Namun di sebalik cabaran ini, terdapat contoh kukuh kepimpinan negara.

Malaysia, misalnya muncul sebagai rujukan serantau dalam pelaburan pendidikan, penyertaan kanak-kanak, reformasi undang-undang dan penglibatan belia dalam inisiatif iklim.   

Bahaya Digital Terus Mengancam

 

Dalam temu bual eksklusif bersama Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama baru-baru ini, Pengarah Wilayah UNICEF bagi Asia Timur dan Pasifik, June Kunugi berkata rantau ini sedang menyaksikan "pertembungan krisis" yang menuntut tindakan kolektif dan segera, sambil menekankan bahawa Malaysia membuktikan apa yang boleh dicapai melalui kemahuan politik dan perancangan inklusif.

Beliau memuji Malaysia kerana menggubal undang-undang yang mengharamkan penyalahgunaan seksual kanak-kanak secara siaran langsung dan pemerasan dalam talian sebagai jenayah.

“Malaysia juga menjadi tuan rumah Forum ICT ASEAN Keempat mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian.

"Ia satu bidang yang amat penting, dan kami berterima kasih kepada Malaysia kerana mempelopori usaha ini.

“Namun pertumbuhan platform digital dan kecerdasan buatan (AI) masih mendedahkan kanak-kanak kepada gangguan, penderaan dan eksploitasi dalam talian,” katanya sambil merujuk kepada penglibatan UNICEF dalam merangka Deklarasi dan Pelan Tindakan ASEAN mengenai Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian.

Walaupun ia merupakan yang pertama seumpamanya di rantau ini, pelaksanaannya masih ketinggalan, katanya.

Beliau menyeru agar kerajaan memastikan sistem pendidikan dan perlindungan kanak-kanak bergerak seiring dengan perkembangan.

Sistem kehakiman juga, katanya, perlu berevolusi agar mangsa kanak-kanak tidak mengalami trauma semula sepanjang proses.

“Kerajaan perlu melibatkan kementerian pendidikan, sektor swasta dan yang paling penting, golongan muda sendiri dalam usaha ini.

“Ada negara yang kini menggunakan keterangan melalui pautan video dan pewawancara terlatih untuk mengurangkan trauma kepada mangsa kanak-kanak. Ini satu kemajuan, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.   

Ancaman Iklim, Kesihatan Mental dan Pemulihan Selamat

 

Dalam pada itu, perubahan iklim terus menjadi ancaman utama, khususnya terhadap kanak-kanak.

Menurut Kunugi, dua daripada setiap tiga kanak-kanak di rantau ini mengalami sekurang-kurangnya empat bencana iklim setiap tahun.

“Projek saintifik menunjukkan bencana seperti taufan, banjir dan gelombang haba akan berlaku lebih kerap dan lebih teruk.

Kita mesti melabur bukan sahaja dalam mitigasi tetapi juga dalam perkhidmatan tahan iklim,” katanya.

UNICEF kini bekerjasama dengan pelbagai rakan untuk menyokong pusat kesihatan berkuasa solar, sekolah tahan banjir dan sistem penyimpanan vaksin yang lebih baik.

Beliau turut merujuk kepada pemulihan pasca bencana di Vietnam selepas Taufan Super Yagi yang melanda utara negara itu pada September lalu, sebagai peringatan kesan berpanjangan terhadap kanak-kanak.

Taufan itu menjejaskan lebih 5.5 juta kanak-kanak dan merosakkan infrastruktur di 26 wilayah.

“Sesetengah sekolah di Vietnam hanya akan dibina semula pada musim bunga ini. Itu satu tempoh yang panjang untuk seorang kanak-kanak tidak bersekolah,” katanya.

Namun, selain pemulihan fizikal, Kunugi menekankan pentingnya menangani kesihatan mental kanak-kanak selepas krisis.

“Trauma itu benar, termasuk dalam kalangan kakitangan kami sendiri,” katanya sambil berkongsi bahawa anak seorang petugas UNICEF memerlukan kaunseling selepas kejadian gempa bumi di Bangkok baru-baru ini.

Bagi menyokong pemulihan emosi, UNICEF mempromosikan penubuhan ruang mesra kanak-kanak di kawasan terjejas bencana — ruang selamat yang menyediakan kemudahan kebersihan, sokongan psikososial dan rutin pembelajaran semula.

“Ruang ini sangat penting, terutama dalam suasana sesak atau asing,” jelasnya.

Penyelesaian Diterajui Belia Tawarkan Harapan

Kunugi turut memuji model tadbir urus inklusif Malaysia dan mengetengahkan inisiatif "Youth Environment Living Labs" (YELL).

YELL, program bersama UNDP Malaysia, Singapura dan Brunei serta UNICEF Malaysia dengan kerjasama Amanah Lestari Alam (ALAM) dan Kesatuan Eropah (EU), bertujuan memperkasa belia Malaysia memimpin tindakan iklim.

Dilancarkan pada 2022, inisiatif itu memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti, advokasi berasaskan bukti serta pendedahan pekerjaan dan pembangunan kemahiran bagi melahirkan pemimpin alam sekitar generasi baharu.

“Mereka membiayai lebih 100 projek iklim yang diterajui belia dan melatih pemimpin muda dalam kemahiran hijau… lebih lima juta belia dan ahli komuniti telah digerakkan. Itu sangat mengagumkan, memandangkan saiz penduduk Malaysia,” katanya.

Kunugi berkata, Malaysia juga turut menunjukkan komitmen politik yang kukuh dalam menggalakkan suara belia melalui platform rasmi.

“Malaysia mempunyai banyak contoh baik dalam melibatkan kanak-kanak — termasuk dalam Parlimen. Kini ada Parlimen Belia dan kami berharap mungkin suatu hari nanti akan ada Parlimen Kanak-Kanak juga,” katanya.

Menyentuh mengenai usaha inklusif bandar, Kunugi berkata Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak (CFCI) UNICEF memberi ruang kepada kanak-kanak menyumbang dalam pembangunan komuniti mereka.

Selepas Petaling Jaya diiktiraf sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak pertama UNICEF pada Oktober 2023, Pulau Pinang turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UNICEF Malaysia pada Februari 2025 untuk melaksanakan inisiatif ini.

“Di China sahaja, terdapat 93 bandar yang menyertai inisiatif ini. Ia bukan sekadar keselamatan — ia tentang perancangan masa depan,” katanya sambil menyatakan bahawa lima pihak berkuasa tempatan di Sarawak turut melaksanakan rangka kerja CFCI bersama UNICEF.   

Pemulihan Pendidikan dan Janji AI

 

Kunugi turut menekankan jurang pembelajaran pasca pandemik yang semakin melebar sebagai kebimbangan utama.

UNICEF melaksanakan model pembelajaran dipercepat, pengajaran berstruktur dan program bimbingan untuk membantu kanak-kanak mengejar semula pelajaran yang tertinggal.

“Separuh daripada kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah di negara berpendapatan sederhana dan rendah di rantau ini tidak mampu membaca ayat mudah.

"Ia bukan sekadar membuka semula sekolah — kita mesti pastikan pembelajaran benar-benar berlaku,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa UNICEF kini sedang meneroka penggunaan AI secara berhati-hati bagi menyokong pembelajaran dan mencegah keciciran sekolah.

“Kami merangka strategi AI baharu dan sedang menguji alat untuk menambah baik perkhidmatan kepada kanak-kanak — secara selamat dan beretika,” katanya.

Beliau juga berkata platform pembelajaran AI pelbagai bahasa dan sistem pengesanan risiko keciciran pelajar di Malaysia sedang diperhatikan sebagai model serantau.

Kunugi juga mengiktiraf komitmen jangka panjang Malaysia dalam pelaburan pendidikan.

“Malaysia menunjukkan prestasi baik; anda telah mencapai atau melebihi sasaran 15 peratus peruntukan belanjawan negara untuk pendidikan.

"Syabas dan terima kasih kepada Malaysia kerana menjadi contoh yang baik,” katanya.

Kunugi menegaskan bahawa kanak-kanak tidak harus hanya dilihat sebagai golongan terdedah, tetapi juga sebagai ejen perubahan yang berkuasa.

“Kanak-kanak di rantau ini bukan sahaja terdedah — mereka bersedia untuk bertindak. Kita mesti melibatkan mereka, memperlengkapkan mereka dan melindungi mereka pada setiap langkah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan