DUNIA > BERITA

PENGUNDIAN PILIHAN RAYA UMUM AUSTRALIA TAMAT DI NEGERI TIMUR, KIRAAN UNDI BERMULA

03/05/2025 05:43 PM

ANKARA, 3 Mei (Bernama-Anadolu) -- Pengundian bagi pilihan raya Parlimen Australia telah berakhir di negeri-negeri timur dan proses pengiraan undi telah bermula, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut ABC News, pusat pengundian ditutup di Queensland, New South Wales, Victoria, Wilayah Ibu Negara Australia dan Tasmania.

Terdahulu pada pagi Sabtu, pengundian bermula pada 8 pagi waktu tempatan, melibatkan lebih 18 juta rakyat Australia yang berdaftar untuk mengundi di bawah sistem pengundian wajib negara itu.

Proses pengiraan undi dimulakan di negeri-negeri timur seperti New South Wales, Victoria dan Queensland, manakala pengundian masih berlangsung di Australia Barat memandangkan Australia mempunyai tiga zon waktu berbeza.

Parti Buruh berhaluan tengah kiri yang dipimpin Perdana Menteri Anthony Albanese sedang berusaha mempertahankan penggal kedua selepas memperoleh majoriti tipis pada 2022.

Pesaing utama ialah gabungan Liberal-Nasional berhaluan tengah kanan yang kini diketuai Peter Dutton.

Jika tiada blok memperoleh 76 kerusi dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 150 kerusi, Australia berkemungkinan sekali lagi membentuk kerajaan minoriti, situasi yang kali terakhir berlaku pada 2010.

Separuh daripada 76 kerusi Senat juga dipertandingkan.

Undi akan dikira serta-merta, namun keputusan mungkin tidak diumumkan pada malam pilihan raya, terutama jika persaingan sengit.

Undi pos akan dikira dalam beberapa hari berikutnya, menurut Anadolu.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan