DUNIA > BERITA

53 CALON WANITA PADA PRU2025 SINGAPURA, TERTINGGI DALAM SEJARAH

02/05/2025 08:45 AM

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 2 Mei (Bernama) -- Penyertaan wanita dalam Pilihan Raya Umum Singapura 2025 (PRU2025) mencapai rekod tertinggi baharu, dengan 53 calon wanita bertanding berbanding 40 pada PRU2020.  

Ini merupakan bilangan calon wanita tertinggi dalam sejarah pilihan raya republik itu, menurut statistik komprehensif yang diterbitkan di laman multimedia The Straits Times bertajuk, “GE2025: Who’s standing where in Singapore’s general election?”  

Walaupun terdapat peningkatan, wanita hanya mewakili kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan senarai calon, menonjolkan kemajuan serta jurang yang masih wujud dalam aspek perwakilan gender.  

Calon wanita itu datang daripada pelbagai latar belakang profesional, dengan bidang perniagaan dan undang-undang muncul sebagai yang paling lazim.  

Beberapa calon turut membawa kepakaran daripada sektor perkhidmatan sosial dan media, mencerminkan kepelbagaian yang semakin meluas dalam pengalaman yang diwakili.  

Antaranya ialah Alexis Dang, pengarah kanan di firma teknologi pengiklanan global Teads, yang bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Punggol.  

Penyertaan beliau dalam arena politik mencerminkan kehadiran semakin ramai profesional daripada sektor bukan tradisional.  

Secara keseluruhan, PRU2025 memperlihatkan gabungan kesinambungan dan perubahan dalam profil calon.  

Walaupun sektor tradisional seperti undang-undang, perniagaan dan perkhidmatan awam masih mendominasi, terdapat peralihan ketara ke arah perwakilan yang lebih luas, termasuk calon daripada industri baharu dan latar belakang kurang konvensional.  

Evolusi itu menandakan landskap politik yang semakin matang dan mencerminkan kepelbagaian masyarakat serta tenaga kerja Singapura. 

Seramai 211 calon akan bertanding dalam PRU2025 Singapura.  

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan