Daripada Nurliyana Farhah Ruslan
MADINAH, 1 Mei (Bernama) -- Terpilih untuk berkhidmat sebagai petugas haji musim 1446H/2025M adalah antara detik yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata bagi dua anak muda yang pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Berkongsi rasa syukur dan terharu atas peluang itu, Muhammad Faris Abu Hasan, 36, dan Aizal Muhammad Nazim Sakari, 34, menyedari tanggungjawab besar yang perlu digalas demi memastikan kelancaran dan kejayaan operasi haji musim ini.
Muhammad Faris yang juga jururawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar berkata peluang itu hadir selepas 11 tahun menunggu dan menyifatkannya sebagai satu penghormatan besar, sekali gus memikul amanah berat yang menuntut keikhlasan, ketabahan serta iltizam tinggi dalam memastikan kebajikan dan keperluan jemaah haji Malaysia sentiasa dilindungi.
“Saya akan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para jemaah, sebagaimana yang telah saya lakukan sepanjang perkhidmatan saya sebelum ini (di Malaysia) kepada pesakit.
“Di sini (Madinah), saya cuba sedaya upaya membantu mereka agar dapat menunaikan ibadah haji dengan sebaik mungkin,” katanya yang bertugas dengan Pusat Rawatan Madinah Tabung Haji (TH).
Muhammad Faris berkata semangat kerja berpasukan menjadi asas utama dalam menghadapi cabaran ketika bertugas di Tanah Suci, terutamanya ketika menyantuni Duyufurrahman (tetamu Allah SWT) yang memerlukan rawatan dan perhatian khusus.
Sementara itu, nasihat dan dorongan daripada ibu bapa menjadi kekuatan bagi Aizal Muhammad yang diberi kepercayaan sebagai petugas di Bilik Maklumat Operasi (BMO) Madinah.
“Tugasan saya secara tidak langsung melibatkan jemaah, tetapi lebih kepada mengurus hal-hal berkaitan petugas dan pihak pengurusan atasan.
“Jadi saya perlu sentiasa bersedia dan menjaga emosi dengan sebaiknya kerana tugas ini menuntut disiplin tinggi dan tidak boleh sesuka hati keluar tanpa keperluan, apatah lagi sekiranya berlaku kecemasan dan bila dipanggil, saya perlu terus bertindak,” katanya.
Aizal Muhammad berkata petugas BMO Madinah perlu memiliki ketelitian tinggi dan memainkan peranan penting sebagai pusat rujukan maklumat meliputi pergerakan jemaah, penginapan, jadual ziarah, pengangkutan serta hal-hal kecemasan, demi kelancaran keseluruhan operasi.
Seramai 632 petugas haji Tanah Suci digerakkan ke Arab Saudi secara berperingkat bermula 24 April lepas bagi melancarkan operasi musim haji ini dengan melibatkan 358 Petugas Rombongan Kebajikan dan 274 Petugas Rombongan Perubatan.
TH menempatkan petugas haji Tanah Suci merangkumi pelbagai sektor termasuk pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, pengangkutan, sajian, bagasi dan khidmat pelanggan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial