PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick akan mewakili Kerajaan Malaysia ke Istiadat Pengebumian Negara mendiang Paus Francis yang akan diadakan pada 26 April di Vatican City.
Kementerian Luar mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Istiadat pengebumian Negara berkenaan termasuk mengadakan upacara keagamaan berdasarkan adat Roman Katolik (Misa Pengebumian) di St. Peter’s Square, Vatican City yang akan dipimpin oleh Giovanni Battista Re, Ketua Kolej Kardinal.
Setelah itu, istiadat perarakan akan diadakan bagi mengiringi jenazah Paus Francis ke Basilika Santa Maria Maggiore di Rom, menyaksikan mendiang akan disemadikan dalam satu upacara tertutup.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Paus Francis pada 21 April 2025.
Dalam perutusan beliau, perdana menteri memperingati sumbangan besar kepada usaha dialog antara agama, pengurusan alam sekitar serta perlindungan hak bagi golongan dimarginalisasi.
Pada 23 April, Ewon juga menandatangani Buku Takziah di Kedutaan Vatican di Kuala Lumpur bagi pihak Kerajaan Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial