KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia yang baharu, Ajay Sharma berhasrat memperkukuh hubungan dua hala terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, teknologi serta pendidikan sepanjang tempoh perkhidmatannya di negara ini.
Dalam kenyataan pertamanya selepas secara rasmi memulakan tugas, Sharma berkata bahawa keempat-empat bidang itu merupakan pemacu utama pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara.
“Malaysia ialah rakan penting bagi United Kingdom,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook UK in Malaysia - British High Commission Kuala Lumpur.
Beliau menegaskan bahawa United Kingdom dan Malaysia juga perlu bekerjasama dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim serta keselamatan serantau.
“Saya sangat berminat untuk memanfaatkan sepenuhnya hubungan sejarah antara kedua-dua negara,” kata Sharma.
Sharma dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia bagi menggantikan Ailsa Terry.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Kuasa Usaha UK ke Iran dari 2013 hingga 2015, Duta Britain ke Qatar dari 2015 hingga 2020, dan Kuasa Usaha UK ke Turkiye dari 2022 hingga 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial