DUNIA > BERITA

PERANAN PENGANTARA MALAYSIA DALAM KRISIS MYANMAR "SANGAT SIGNIFIKAN" – PAKAR

18/04/2025 10:55 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) – Peranan diplomasi proaktif Malaysia dalam mendapatkan   persetujuan supaya gencatan senjata di Myanmar  dilanjutkan,  dilihat sebagai “sangat signifikan” oleh pakar geopolitik terkemuka Prof Dr James Chin, yang percaya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meletakkan dirinya, dan ASEAN, sebagai pendamai berpotensi dalam  satu daripada konflik paling berlarutan di rantau ini.

Pensyarah Universiti Tasmania itu berkata kejayaan Anwar mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), Mahn Win Khaing Than, merupakan detik penting buat ASEAN yang sebelum ini bergelut untuk menangani konflik sivil di negara itu.

“Fakta bahawa kedua-dua pihak sanggup berbincang secara langsung dengan Anwar adalah sangat signifikan. Beliau mempertaruhkan reputasinya untuk mencari jalan penyelesaian, sedangkan usaha ASEAN sebelum ini, termasuk pelantikan utusan khas, tidak membuahkan hasil,” katanya kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama pada Jumaat.

Dalam lawatan kerja ke Thailand baru-baru ini, Anwar mengumumkan bahawa kedua-dua pihak – junta dan pembangkang – telah berikrar untuk mengekalkan gencatan senjata dan menjamin keselamatan petugas kemanusiaan, sejajar dengan syarat yang ditetapkan semua pihak terlibat dalam operasi bantuan.

Chin, seorang pakar dalam bidang geopolitik dan kajian Asia berkata sekiranya Anwar berjaya merealisasikan pelan damai bagi menyelesaikan perang saudara itu, ia akan mengukuhkan legasi beliau sebagai negarawan serantau.

“Jika beliau benar-benar mampu menggerakkan gencatan senjata dan merangka satu hala tuju, maka beliau sudah pun menjadi wira sebenar,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan Malaysia mencerminkan peralihan daripada prinsip tidak campur tangan yang menjadi pegangan ASEAN, Chin menjelaskan bahawa keseriusan konflik itu telah memaksa negara anggota menilai semula pendekatan berkenaan.

“Prinsip tidak campur tangan lazimnya dihormati, tetapi ini bukan lagi isu dalaman semata-mata. Kebanyakan pemimpin ASEAN kini bersetuju bahawa Myanmar sedang menghadapi perang saudara secara menyeluruh. Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan pertumpahan darah, meskipun bukan menerusi campur tangan ketenteraan,” katanya.

Beliau berkata sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia memikul tanggungjawab besar dan masyarakat antarabangsa akan memerhati dengan teliti usaha Anwar sebagai pengantara.

“Seluruh dunia sedang memerhatikan apa yang akan dilakukan Anwar, bukan hanya sebagai pemimpin Malaysia, tetapi juga sebagai Pengerusi ASEAN. Reputasi ASEAN terletak kepada sejauh mana kejayaan beliau,” kata Chin.

Walaupun terdapat pemerhati yang mempersoalkan sama ada kepimpinan Malaysia boleh mencipta satu duluan baharu, Chin menegaskan bahawa wujudnya konsensus serantau berhubung keperluan untuk bertindak.

“Ini bukan soal menetapkan duluan. Semua negara ASEAN menyedari krisis Myanmar telah menjejaskan imej ASEAN di peringkat antarabangsa. Jika Anwar berjaya di mana orang lain gagal, ia akan menjadi satu kejayaan besar,” katanya.

Mengulas pandangan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat, Chin berkata pemain peringkat  global menyokong usaha yang diketuai ASEAN kerana menyedari junta tidak akan melibatkan diri dengan pihak luar.

“Mereka tahu bahawa junta tentera hanya akan berbincang dengan ASEAN. Sebab itulah peranan Malaysia sebagai Pengerusi sangat penting ketika ini,” katanya.

Myanmar terus dilanda konflik sejak rampasan kuasa tentera pada Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan pilihan rakyat, mencetuskan bantahan besar-besaran dan gerakan penentangan bersenjata.

Konsensus Lima Perkara ASEAN yang dipersetujui pada April 2021 masih belum menunjukkan kemajuan konkrit dalam meredakan krisis itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan