Oleh Kenny Teng
BANGKOK, 13 April (Bernama) -- Selepas bertahun-tahun tidak berpeluang menyambut perayaan Songkran atau Tahun Baharu Thai di Bangkok, Pattareeya Konwimon akhirnya dapat menikmati saat-saat berharga bersama keluarga di Bangkok.
Pattareeya, 35, yang bekerja sebagai jurutera geoteknikal di wilayah Nong Khai, di timur laut Thailand menyifatkan Songkran sebagai masa paling bermakna untuk kembali menyulam hubungan dengan ahli keluarga.
“Saya bekerja di Nong Khai dan jarang berkesempatan pulang ke Bangkok.
"Jadi, bila tiba cuti Songkran, saya pastikan untuk luangkan masa bersama keluarga dan membawa ibu bapa ke kuil,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Wat Saket Ratchawora Mahawihan (Wat Saket), Ahad.
Mengulas cuaca panas terik yang sedang melanda Thailand ketika ini, Pattareeya berkata beliau lebih selesa berada di dalam rumah berbanding menyertai pesta air yang sinonim dengan sambutan Songkran.
“Pada usia saya sekarang, saya tidak lagi teruja dengan acara pesta air.
"Saya lebih suka habiskan masa secara tenang bersama keluarga dan menikmati makan malam di rumah,” katanya.
Untuk rekod, pada 2023, Songkran secara rasmi disenaraikan dalam Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Bangkok, Siriporn Phenphon, 45, berkongsi bahawa keluarganya tidak pernah ketinggalan mengunjungi Wat Saket, antara kuil tertua di Thailand terutamanya ketika musim Songkran.
“Songkran sangat bermakna untuk keluarga kami. Ia waktu terbaik untuk mengeratkan hubungan dan makan malam bersama,” katanya.
Siriporn turut menjelaskan bahawa hari pertama Songkran didedikasikan untuk kunjungan ke kuil, doa dan membuat kebajikan.
Songkran, lazimnya disambut dari 13 hingga 15 April turut dikenali dengan pesta air yang meriah, perarakan penuh warna-warni dan suasana penuh keceriaan sebagai simbol permulaan tahun baharu dalam budaya Thai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial