DUNIA > BERITA

PRESIDEN FILIPINA MARCOS BERADA DALAM KEADAAN SIHAT - MALACANANG

11/04/2025 05:43 PM

MANILA, 11 April (Bernama-PNA) -- Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr berada dalam keadaan sihat, menurut kenyataan Istana Malacanang pada Jumaat, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

“Sekurang-kurangnya daripada perspektif saya yang sering bersama Presiden secara peribadi, beliau berada dalam keadaan sihat,” kata Timbalan Setiausaha Pejabat Komunikasi Presiden merangkap Pegawai Media Istana, Claire Castro, dalam satu sidang media.

Penjelasan itu diberikan susulan spekulasi dalam kalangan netizen yang mendakwa Presiden mengalami masalah gusi berdarah ketika menyampaikan ucapan pada satu acara di Kem Aguinaldo, Quezon City, Rabu lalu.

Castro menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai tahap kesihatan Presiden dan mengingatkan agar tidak menyebarkan maklumat palsu.

“Tolong jangan mereka-reka cerita mengenai kesihatan Presiden. Itu tidak baik untuk negara kita. Sebaliknya, marilah kita mendoakan agar pemimpin kita terus dikurniakan kesihatan yang baik,” katanya.

Beliau berkata jika Presiden berada dalam keadaan tidak sihat, beliau tidak akan mampu melaksanakan tugas hariannya.

“Orang ramai tidak perlu bimbang. Presiden terus aktif menjalankan tanggungjawab beliau,” ujarnya.

Castro turut menjelaskan yang Marcos sentiasa menghadiri acara rasmi dan mesyuarat tertutup.

“Anda sendiri boleh lihat, termasuk rakan-rakan media yang Presiden sentiasa kelihatan dalam pelbagai aktiviti rasmi dan acara kempen di bawah Alyansa. Di samping itu, beliau terus mengadakan mesyuarat dengan kami,” katanya.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan