KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama-Xinhua) -- Dialog terbuka dan libat urus berkesan antara pegawai kerajaan, ahli akademik serta pengamal media dari China dan negara-negara ASEAN diyakini mampu membuka ruang penyelarasan kepentingan bersama dan memperkukuh kerjasama yang saling menguntungkan, menurut seorang pemerhati politik Malaysia.
Timbalan Pengerusi Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS), Tan Kar Hing berkata dalam suasana dunia yang semakin berpecah belah ketika ini, usaha bersama untuk membentuk naratif yang lebih seimbang dan mencerminkan realiti serta perspektif Selatan Global akan memberi manfaat kepada China dan kumpulan ASEAN.
“Adalah penting untuk kita bersama-sama membangunkan naratif yang lebih seimbang, berdasarkan realiti dan perspektif Selatan Global,” katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa China mempunyai imej positif dalam kalangan kebanyakan negara ASEAN, dengan hubungan rakyat yang baik, dan kedua-dua belah pihak melihat kerjasama ekonomi sebagai teras utama hubungan.
“Di banyak negara ASEAN, China bukan sahaja dilihat sebagai kuasa besar dunia, malah sebagai jiran rapat yang berkongsi hubungan sejarah, budaya dan ekonomi yang mendalam. Pendekatan China pula dilihat pragmatik, menekankan kerjasama ekonomi serta tidak mencampuri urusan dalaman negara lain,” jelas Tan.
Sementara itu, penyelidik dasar luar dan kajian keselamatan dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Angeline Tan, menekankan bahawa hubungan antara China dan ASEAN wajar diperkukuh demi membina kepercayaan bersama.
“China harus memperluas lagi hubungan antara rakyat – ini akan membantu merapatkan sentimen serta mewujudkan pemahaman yang lebih baik antara masyarakat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia, yang sejak sekian lama mengamalkan dasar berkecuali, akan terus mengambil pendekatan tidak memihak serta memperluas kerjasama dengan Selatan Global.
“Rakyat Malaysia cenderung menjalin hubungan pelbagai hala, dan ini menjelaskan usaha kita untuk merapatkan hubungan dengan Selatan Global,” katanya.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial