DUNIA > BERITA

RESPONS GLOBAL SUSULI PENGUMUMAN PENANGGUHAN DUTI AS 90 HARI

10/04/2025 06:49 PM

Oleh Nabilah Saleh

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Beberapa kerajaan di seluruh dunia tampil memberikan reaksi susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenai penangguhan selama 90 hari terhadap pelaksanaan duti timbal balik ke atas importnya -- kecuali terhadap China, yang kekal berdepan kadar tarif  lebih tinggi iaitu 125 peratus.

Langkah itu dilihat sebagai penyesuaian sementara terhadap dasar perdagangan AS selepas menerima pelbagai reaksi dan kebimbangan daripada rakan dagang yang terkesan susulan pelaksanaan duti secara menyeluruh sebelum ini.

Di Asia Tenggara, negara-negara ASEAN dalam kenyataan bersama selepas Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) di Kuala Lumpur berkata, blok itu tidak akan mengambil langkah bertindak balas,   sebaliknya mengalu-alukan ruang untuk dialog.

"ASEAN akan melaksanakan dialog secara berterus-terang dan konstruktif bersama Amerika Syarikat bagi menangani isu berkaitan perdagangan," menurut kenyataan itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut mengalu-alukan keputusan AS menangguhkan duti yang lebih tinggi ke atas kebanyakan rakan dagangnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui langkah itu mencetuskan ketidaktentuan kepada ekonomi serantau.

"Perkembangan terbaharu ini sudah pasti akan menjadi antara topik perbincangan pada Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN yang saya pengerusikan pagi ini," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Beliau turut mengulas bahawa "tiada yang pasti kecuali ketidaktentuan apabila melibatkan duti Presiden Donald Trump."

Di Eropah, Jerman menyifatkan penangguhan itu sebagai isyarat bahawa dasar AS mula menerima tekanan dari benua itu.

Canselor bakal dilantik Friedrich Merz dalam temu bual bersama penyiar RTL Direkt berkata: "Kami bertekad untuk mempertahankan diri," merujuk kepada tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang meluluskan duti timbal balik ke atas barangan AS bernilai US$23 bilion yang dijadual berkuat kuasa pada 15 April.

"Kesatuan itu membantu," katanya, sambil menambah bahawa konflik perdagangan tidak menguntungkan sesiapa.

"Trump kini berdepan masalah dengan dasar duti beliau di negara sendiri. Kadar inflasi meningkat, import merosot dan eksport menghadapi kesukaran besar, " katanya lagi.

Merz turut menyuarakan harapan untuk penyelesaian jangka panjang, katanya: "Adalah lebih baik jika semua pihak bekerjasama untuk mencapai kadar duti sifar dalam perdagangan transatlantik. Maka masalah ini boleh diselesaikan."

Di Asia, Jepun menyambut baik langkah itu secara berhati-hati.

Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi berkata Tokyo mengalu-alukan pengumuman itu dan sebelum ini telah menyatakan kebimbangannya di pelbagai peringkat.

"Pertama sekali, kami ingin memperjelaskan butiran mesej ini," katanya seperti dipetik Sputnik.

"Negara kami telah menjelaskan kebimbangan kami... dan meminta kajian semula terhadap langkah duti itu. Dalam hal ini, kami menilai secara positif kenyataan daripada pihak Amerika."

Hayashi menambah bahawa Jepun akan terus menggesa untuk kajian semula duti AS ke atas keluli dan kenderaan.

Pengumuman itu turut mencetuskan reaksi ketara di pasaran saham Tokyo.

Menurut Kyodo News, Indeks Nikkei melonjak lebih lapan peratus pagi Khamis susulan keputusan AS menggantung kenaikan duti ke atas rakan dagangnya.

Di Korea Selatan, yang masih berdepan kadar duti asas 10 peratus, Agensi Berita Yonhap melaporkan bahawa kerajaan negara itu melihat penangguhan itu sebagai peluang untuk memulakan semula perbincangan perdagangan.

Keputusan Trump itu dibuat selepas China mengenakan duti timbal balas, mendorong Washington menaikkan duti ke atas barangan China kepada 125 peratus.

Indonesia menyifatkan langkah itu sebagai usaha ke arah memulihkan dialog bermakna.

Menteri Kewangan Sri Mulyani berkata penangguhan itu "memberi lebih banyak ruang untuk perbincangan konstruktif antara AS dan semua negara," mencerminkan keutamaan rantau itu untuk berunding daripada meningkatkan ketegangan.

Vietnam pula segera mengambil tindakan diplomatik, apabila Reuters melaporkan negara itu telah bersetuju memulakan rundingan dengan AS bagi perjanjian perdagangan yang berpotensi dimeterai.

Perkembangan itu susulan keputusan AS menggantung duti sebanyak 46 peratus yang dirancang ke atas eksport Vietnam.

Menurut kenyataan Kerajaan Vietnam, kedua-dua pihak akan meneroka langkah pengurangan halangan bukan tarif susulan pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri Ho Duc Phoc dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer di Washington.

Menurut Reuters, Greer mengakui perbincangan itu di media sosial dan berkata ia merangkumi "perdagangan timbal balik dan peluang ekonomi besar dalam hubungan dua hala kami."

Meskipun penangguhan itu bersifat sementara, Rumah Putih mengesahkan bahawa duti asas 10 peratus ke atas hampir semua import masih kekal berkuat kuasa.

Sementara penangguhan 90 hari ini membuka ruang untuk dialog, ramai pemerhati masih berhati-hati memandangkan ketidaktentuan terhadap dasar perdagangan AS terus membayangi pasaran global.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan merangkap Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, menyifatkan pengumuman itu sebagai berita positif untuk perniagaan dan ekonomi negara itu secara keseluruhan.

"Ini adalah berita yang amat dialu-alukan. Penangguhan ini memberi peluang untuk rundingan, terutamanya  memandangkan Kerajaan Thailand sentiasa bersedia untuk terlibat dalam dialog," katanya kepada pemberita pada taklimat media, Khamis.

Khamis lepas, pentadbiran AS telah melaksanakan duti minimum 10 peratus ke atas import dari semua negara di bawah Dasar Tarif  dan Perdagangan Timbal Balik AS.

Bagi Thailand, duti timbal balik itu ditetapkan pada kadar 36 peratus dan berkuat kuasa mulai 9 April 2025.

Namun, Nikorndej berkata Kerajaan Thailand sebelum ini telah menyatakan pendiriannya untuk tidak bertindak balas, sebaliknya memilih pendekatan rundingan dengan AS.

"Kami berharap kedua-dua negara dapat menyelesaikan isu ini secara baik, mencapai persetujuan yang saling memanfaatkan dalam tempoh 90 hari ini," katanya.

Beliau berkata Thailand bersedia untuk menghantar delegasi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Pichai Chunhavajira untuk berunding dengan pegawai AS.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan