ROM, 10 April (Bernama–PA Media/dpa) -- Raja Britain Raja Charles III dan Permaisuri Camilla berkenan mengadakan pertemuan tertutup dengan Ketua Gereja Katolik, Paus Francis di Vatikan pada Rabu bagi menyampaikan ucapan selamat dan mendoakan kesembuhannya, lapor PA Media/dpa.
Pertemuan berlangsung ketika Paus masih dalam proses pemulihan selepas menerima rawatan akibat radang paru-paru.
Lawatan diraja itu disedari media tempatan apabila konvoi pasangan diraja dilihat keluar meninggalkan Vatikan.
Pasangan diraja itu kini berada di penghujung lawatan negara selama empat hari ke Itali.
Lawatan rasmi ke Holy See pada asalnya dibatalkan lebih awal bagi memberi ruang kepada pemulihan kesihatan Paus.
Jurucakap Istana Buckingham memaklumkan bahawa Raja Charles dan Permaisuri Camilla menghargai kesempatan bertemu secara peribadi dengan Paus, dan berbesar hati kerana beliau berada dalam keadaan sihat untuk menerima kunjungan itu.
Difahamkan pertemuan itu berlangsung selama kira-kira 20 minit dan mungkin diadakan di kediaman peribadi Paus.
Ia juga bertepatan dengan ulang tahun perkahwinan ke-20 Raja Charles dan Permaisuri Camilla.
Turut hadir bersama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Sulit Utama Raja, Clive Alderton dan Timbalan Setiausaha Sulit Permaisuri, Belinda Kim.
Ini merupakan pertemuan kedua antara Charles dan Paus Francis selepas kali terakhir bertemu pada 2019 ketika baginda masih bergelar Putera Wales.
-- BERNAMA–PA Media/dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial