BANGKOK, 9 April (Bernama) -- Polis Thailand berjaya menahan seorang lelaki warga emas disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas di daerah Nonthaburi dekat sini pada petang Rabu.
Pemangku Ketua Polis Siasatan Bahagian Ke-6, Kol. Pol. Anusorn Thongsai, berkata suspek yang dipercayai rakyat Malaysia yang melakukan rompakan di sebuah kedai emas di Hat Yai pada Selasa dan melarikan diri ke Bangkok, ditahan ketika dalam perjalanan dipercayai menuju ke rumah anaknya di Nonthaburi.
Menurut Anusorn, suspek yang berusia 61 tahun itu, cuba menyamar menggunakan pelbagai identiti bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa semasa berada di Thailand.
"Siasatan awal mendapati suspek menaiki bas dari Hat Yai ke stesen bas Mochit di Bangkok sebelum cuba menaiki teksi ke rumah anaknya di Nonthaburi.
"Anggota polis berjaya menahan suspek pada kira-kira 6.30 petang waktu tempatan, bersama barang bukti berupa emas, sepucuk pistol dan beberapa butir peluru hidup," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Tambahnya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan akan dikenakan tindakan undang-undang di Thailand.
Siasatan mendapati suspek bertindak bersendirian dengan menaiki motosikal untuk merompak sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai sekitar 11.50 pagi Selasa.
Suspek menggunakan pistol untuk melarikan emas bernilai lebih kurang 9 juta baht (RM1.17 juta).
Berikutan kejadian itu, polis Thailand telah mengeluarkan waran tangkap pada Rabu dan memperketat kawalan di semua pintu keluar sempadan bagi menghalang suspek daripada melarikan diri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial