PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Malaysia akan menghoskan Mesyuarat Pakar dan Tokoh Terkemuka Forum Serantau ASEAN (ARF EEPs) ke-17 dari 7 hingga 8 April, bertujuan mendapatkan pandangan yang boleh diambil tindakan untuk memperkukuh keamanan dan keselamatan serantau melalui diplomasi pencegahan.
Dalam kenyataan pada Isnin, Kementerian Luar memaklumkan mesyuarat itu merupakan platform penting di bawah rangka kerja ARF bagi pakar dasar dan pemikir strategik berkongsi dapatan serta merumuskan cadangan praktikal bagi meningkatkan kestabilan serantau.
Kementerian Luar berkata perhatian khusus akan diberikan kepada kesan serantau daripada tarif terbaharu Amerika Syarikat (AS), sejajar dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk satu tindak balas yang diselaraskan dan dipertimbangkan dengan teliti yang penting untuk memelihara kestabilan serantau.
“Kementerian melihat platform ini sebagai peluang strategik untuk mengetengahkan perspektif pakar dalam menyokong agenda diplomasi pencegahan ASEAN yang semakin berkembang," menurut Kementerian Luar.
Diadakan bersempena dengan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN 2025, Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra berkata mesyuarat itu turut digunakan untuk mendapatkan pandangan dan saranan yang boleh diterjemahkan kepada dasar serta memacu kerjasama serantau.
Perbincangan akan menumpukan kepada penilaian semula Pelan Tindakan Diplomasi Pencegahan ARF, dinamika keselamatan serantau, serta langkah ke hadapan melalui sesi khas bertajuk “Beyond 30: Revitalising the ARF”, selaras dengan visi ASEAN 2025 Malaysia dalam membina komuniti yang inklusif dan berdaya tahan.
Hasil perbincangan itu akan digunakan bagi merangka keutamaan Malaysia dalam tonggak politik-keselamatan ASEAN serta menyumbang secara bermakna kepada perbincangan ARF yang lebih luas.
"Malaysia menegaskan komitmennya terhadap multilateralisme, konsensus dan dialog yang membina. Dalam menghadapi ketidaktentuan global, Malaysia percaya bahawa dialog, pembinaan kepercayaan dan diplomasi pencegahan harus kekal sebagai teras tindak balas kolektif ASEAN demi menjamin keamanan, memupuk persefahaman bersama dan menggalakkan kemakmuran bersama," tambah Wisma Putra.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama oleh ARF EEP Malaysia, Datuk Prof. Dr Mohd Faiz Abdullah dan Dr Choi Yoon Jung dari Korea Selatan.
Mesyuarat tahunan itu menghimpunkan tokoh pemikir serta pakar dasar kanan dari negara-negara peserta ARF untuk menghasilkan cadangan yang berpandangan jauh berhubung kerjasama keselamatan serantau dan pendekatan diplomasi pencegahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial