MANDALAY (Myanmar), 7 April (Bernama-CMG) -- Pemimpin Myanmar Min Aung Hlaing menyifatkan penglibatan pasukan penyelamat China dalam menangani kesan bencana gempa bumi sebagai lambang persahabatan 'pauk-phaw' yang terjalin antara kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian ketika melawat Pasukan Mencari dan Menyelamat China, Pasukan Mencari dan Menyelamat Antarabangsa China serta pasukan penyelamat dari wilayah Hong Kong China di Mandalay pada Ahad.
Min Aung Hlaing merakamkan ucapan terima kasih atas sumbangan tiga pasukan itu dan memuji kecekapan mereka dalam menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Beliau berharap kedua-dua negara terus memperluas kerjasama dalam tindak balas kecemasan serta pencegahan dan pengurangan bencana.
Dalam perkembangan lain, pasukan penyelamat China mengerahkan lebih 20 pakar perubatan dan jururawat untuk menawarkan perkhidmatan perubatan secara percuma kepada mangsa gempa bumi di Mandalay.
Selain itu, lapan pakar kejuruteraan struktur dari China turut menyertai kerja penilaian tahap keselamatan pascagempa bumi terhadap lebih 800 bangunan dan infrastruktur awam.
Setakat Ahad, pasukan penyelamat China berjaya menyelamatkan sembilan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan di kawasan bencana.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial