SYDNEY, 7 April (Bernama-dpa) -- Seorang lelaki warga Jordan berusia 46 tahun didakwa pada Ahad kerana didakwa cuba membuka pintu sebuah pesawat dalam penerbangan ke Sydney serta menyerang seorang anak kapal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik kenyataan polis Australia.
Polis Persekutuan Australia (AFP) berkata mereka mengambil tindakan pada malam Sabtu selepas lelaki itu didakwa “cuba membuka pintu kecemasan bahagian belakang pesawat semasa penerbangan” dari Kuala Lumpur.
Selepas beliau diiringi kembali ke tempat duduk oleh anggota kru, lelaki itu didakwa cuba membuka satu lagi pintu kecemasan.
“Lelaki itu kemudian dihalang oleh kru dan penumpang, ketika itu dia didakwa menyerang seorang kakitangan syarikat penerbangan,” menurut AFP.
Lelaki itu telah didakwa atas dua pertuduhan membahayakan keselamatan pesawat dan satu pertuduhan menyerang, yang masing-masing memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun.
“Tindakan lelaki ini boleh mengakibatkan akibat yang tragik, dan penumpang serta kakitangan pesawat tidak sepatutnya berdepan dengan tingkah laku yang tidak terkawal, ganas atau berbahaya semasa penerbangan,” kata pemangku penguasa detektif AFP Davina Copelin.
“AFP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang melakukan jenayah dalam pesawat, terutamanya apabila tingkah laku itu boleh membahayakan keselamatan penumpang, kru atau penerbangan itu sendiri.”
Penyiar Australia ABC memetik peguam lelaki itu sebagai memberitahu mahkamah pada Ahad bahawa lelaki berusia 46 tahun itu telah mengambil dua jenis ubat, pseudoephedrine dan pil tidur, serta meminum alkohol sebelum penerbangan, dan dia tidak mengingati insiden berkenaan.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial