DUNIA > BERITA

PRESIDEN INDONESIA PRABOWO KE KUALA LUMPUR, BERTEMU ANWAR MALAM INI

06/04/2025 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Presiden Indonesia Prabowo Subianto dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara malam ini.

Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya berkata kunjungan Prabowo ke Kuala Lumpur adalah untuk beramah mesra sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Prabowo sangat menghormati Anwar sebagai pemimpin senior ASEAN yang berpengalaman luas.

"Beliau (Anwar) telah memegang jawatan lebih awal, lebih berusia, dan merupakan rakan akrab kepada Presiden,” katanya dalam satu kenyataan.

Teddy yang turut menyertai lawatan itu memaklumkan bahawa Presiden Prabowo akan berangkat pulang ke Jakarta sejurus selepas pertemuan itu.

“Presiden akan pulang ke Jakarta malam ini juga,” jelasnya.

Sementara itu, agensi berita ANTARA melaporkan bahawa Teddy tidak memberikan jawapan yang khusus ketika ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua pemimpin membincangkan dasar tarif import yang diumumkan baru-baru ini oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Beliau hanya berkata, “Kedua-dua pemimpin akan berbincang tentang pelbagai perkara.”

Pada Jumaat, Anwar berkata Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN akan mengadakan rundingan dengan beberapa negara anggota blok bagi mencapai persetujuan bersama mengenai isu tarif timbal balik, demi memastikan prinsip keadilan dapat diterapkan dalam perdagangan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan