AM > BERITA

Lebih 500 Perwakilan Saksikan Perasmian Serentak Kongres AMK, Wanita

22/05/2025 11:58 PM

PENAMPANG, 22 Mei (Bernama) -- Lebih 500 perwakilan Parti Keadilan Rakyat (PKR) malam ini hadir mengikuti ucapan perasmian serentak Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Wanita yang disiarkan secara langsung dari Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC) di sini.

Suasana berlangsung riuh dengan tepukan dan sorakan perwakilan semasa Setiausaha Agung PKR Dr Fuziah Salleh menyampaikan ucapan perasmian yang menyentuh keperluan ahli parti menolak sebarang perbezaan dan memperkukuh hubungan dalam parti.

Perwakilan juga tampak bersemangat apabila Fuziah membicarakan tentang kepentingan memperkukuh parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun ini.

Safina Masidin, 45, dari Cabang PKR Tuaran, menyifatkan seruan untuk merapatkan saf dalam parti sebagai tepat pada masanya, terutamanya menjelang PRN.

"Kita sebagai ahli parti perlu mendengar seruan pimpinan tertinggi ini. Penyatuan dalam parti amat penting untuk kita terus bergerak sebagai sebuah pasukan yang kuat," katanya, sambil menegaskan bahawa ahli PKR di Sabah bersedia membantu memperkukuh parti di peringkat akar umbi dan menyokong usaha memperjuangkan agenda reformasi.

Bagi Mohd Azrul Mohd Taib, 39, dari Cabang PKR Sepanggar, beliau berkata sesuai dengan seruan itu, PKR Sabah perlu memberi tumpuan kepada isu-isu tempatan dalam menghadapi PRN akan datang.

"Kita perlu fokus kepada isu-isu yang dekat dengan hati rakyat Sabah seperti infrastruktur, peluang pekerjaan untuk belia dan pembangunan luar bandar. Saya yakin PKR mempunyai penyelesaian untuk isu-isu ini," katanya.

Kongres Nasional PKR 2024/2025 bermula malam ini dengan perasmian serentak AMK dan Wanita.

Kedua-dua sayap itu akan memulakan kongres masing-masing esok dengan ucapan dasar Ketua AMK, Adam Adli Abdul Halim, dan Ketua Wanita Fadhlina Sidek, diikuti sesi perbahasan sebelum penggulungan oleh Setiausaha, Naib Ketua, Timbalan Ketua dan Ketua sayap.

Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyempurnakan perasmian Kongres Nasional PKR malam esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan