AM > BERITA

Dun Pulau Pinang Lulus RUU Sumber Air Bagi Pengurusan Lebih Bersepadu, Menyeluruh

22/05/2025 11:14 PM

GEORGE TOWN, 22 Mei (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sumber Air Pulau Pinang 2025 bagi memperkukuh sistem pengurusan sumber air supaya lebih menyeluruh, bersepadu dan lestari. 

 RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari ketika membentangkan RUU itu berkata penggubalan RUU Sumber Air Pulau Pinang 2025 ialah langkah strategik untuk pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air yang lebih efisen.

Beliau berkata ia penting untuk menggantikan Enakmen Air 1967 yang diguna pakai kerana Pulau Pinang memerlukan perundangan khusus untuk memenuhi kehendak semasa kerana kuasa Enakmen Air 1967 hanya melalui pegawai daerah serta peruntukan juga terhad.

“Selain itu, terdapat kelompangan dalam akta-akta Persekutuan yang tidak dapat menangani masalah pencemaran sumber air dengan menyeluruh seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Dengan tekanan yang semakin meningkat akibat pertumbuhan penduduk, pembangunan pesat dan kesan perubahan iklim, pengurusan air memerlukan pendekatan lebih sistematik, efisen serta berasaskan punca kuasa yang berkesan,” katanya.

Zairil menjelaskan RUU Sumber Air itu akan memberikan punca kuasa yang kukuh bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat serta memperkenalkan teknologi pintar dalam pengurusan air di samping menjelaskan hak serta tanggungjawab pelbagai pihak dalam penjagaan sumber air.

Justeru, beliau berkata kerajaan negeri yakin RUU yang mengandungi 61 fasal dan terbahagi kepada 10 bahagian itu, dapat menyediakan kerangka perundangan yang lebih jelas untuk mengawal pengambilan, penggunaan, pemuliharan, dan kualiti sumber air.

Selain itu, persidangan DUN hari ini turut meluluskan RUU Lembaga Sumber Air Pulau Pinang 2025  selain dua usul, iaitu Penyata Khas Laporan Jawatankuasa Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Mengaktifkan Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan.

Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Pulau Pinang ke-15 itu, yang berlangsung sejak 19 Mei lepas turut menyaksikan 75 soalan lisan, 769 soalan bertulis dikemukakan, dua RUU dan tiga usul.

Persidangan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan