AM > BERITA

Seramai 1,700 Pasangan Mohon Bantuan IUI Percuma Kerajaan

22/05/2025 10:39 PM

LAHAD DATU, 22 Mei (Bernama) -- Bantuan rawatan kesuburan permanian beradas (IUI) yang diperkenal kerajaan dalam Belanjawan 2025 mendapat sambutan menggalakkan dengan 1,700 permohonan diterima sejak pelancarannya di bawah program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) pada Februari lepas.

Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Abdul Shukur Abdullah berkata kemudahan rawatan itu adalah bagi membantu pasangan yang berdepan masalah mendapatkan zuriat.

"Kerajaan memperuntukkan RM6 juta bagi pelaksanaan bantuan berkenaan dengan sasaran 1,300 pasangan mendapat manfaat daripada program ini dan sejak pelancarannya, permintaan amat menggalakkan di seluruh negara.

"Setakat ini, terdapat 1,700 yang mendaftar, maknanya melebihi (sasaran) 400 untuk mendapatkan perkhidmatan percuma IUI ini… kita sedang membuat saringan untuk memastikan mereka yang layak sahaja mendapat bantuan ini, antara syarat ialah mesti berumur 35 tahun ke atas," katanya kepada Bernama di sini.

Abdul Shukur ditemui selepas Program Kesejahteraan Lelaki yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Operasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Farah Adura Hamidi sempena Kembara Kasih KPWKM 2025 hari ini. 

Abdul Shukur juga berkata pihaknya menyasarkan 30,000 lelaki mendapat advokasi melalui Program Kesejahteraan Lelaki yang julung kali diperkenal di Sabah tahun ini.

"Berdasarkan sambutan program yang kita tengok pada hari ni juga memberangsangkan, program pertama di bawa ke Sabah, saya difahamkan lebih kurang 600 lelaki yang hadir bagi mendapat pendedahan berkaitan dengan kesejahteraan lelaki, 

"Dalam konteks perkhidmatan yang LPPKN sediakan dan pada program hari ini, kita bawakan saringan berkaitan dengan isu-isu kesuburan lelaki dan juga pemeriksaan kesihatan serta produktif termasuk pemeriksaan testis dan kanser prostat selain ceramah berkaitan penjagaan kesihatan lelaki," katanya.

Beliau berkata program itu bertujuan memperkasa kesejahteraan lelaki dengan meningkatkan kesedaran golongan lelaki mengenai kepentingan kesihatan, kesejahteraan seksual dan kesihatan mental lelaki.

Terdahulu, Abdul Shukur dalam ucapannya berkata masalah psikoseksual lelaki seperti mati pucuk serta ejakulasi pramatang boleh menjadi punca masalah kesuburan dan Laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 menunjukkan 36.9 peratus golongan muda berumur lingkungan 18 hingga 29 tahun mengalami masalah mati pucuk.

"Data Klinik Kesejahteraan Lelaki LPPKN yang menawarkan sesi khidmat nasihat dan rawatan ubatan untuk masalah air mani yang tidak normal dan masalah psikoseksual juga menunjukkan trend peningkatan bilangan kes baharu dan ulangan iaitu daripada 432 kes pada 2023 kepada 760 kes pada 2024," katanya.

Beliau juga berkata ketika ini, terdapat enam perkhidmatan Klinik Kesejahteraan Lelaki sejak dilancarkan pada 2022 iaitu di Sarawak, Pulau Pinang, Melaka, Terengganu, Johor dan Sabah.

"Perkhidmatan ini berperanan meningkatkan kesedaran sekali gus memupuk amalan gaya hidup sihat melalui khidmat nasihat berhenti merokok, pengurangan berat badan serta pemakanan seimbang kerana faktor gaya hidup secara tidak langsung memberi impak ketara terhadap kesuburan individu, perkhidmatan ini juga termasuk menawarkan pakej saringan kesihatan lelaki," katanya.

Abdul Shukur berkata di Sabah, perkhidmatan itu hanya boleh didapati di Klinik Nur Sejahtera iaitu di Kota Kinabalu yang membabitkan kaedah timed intercourse manakala di Tawau ialah kaunseling.

"Pada masa sama, kita ada klinik bergerak LPPKN yang akan turun dari semasa ke semasa ke kawasan pedalaman di Sabah termasuk sempena Program Kembara Kasih KPWKM," katanya.

Beliau berkata LPPKN juga sedia bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am seperti Pasukan Polis Marin dalam memberikan perkhidmatan termasuk advokasi dalam menyantuni kesihatan mereka yang berjauhan dengan isteri.

"Jadi aspek kesejahteraan lelaki ini penting untuk mereka ketahui dan juga yang paling penting adalah untuk polis itu mengetahui dengan lebih lanjut bagaimana nak jaga kesihatan produktif mereka," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan