AM > BERITA

KKR, NRES Perkukuh Kerjasama Lindungi Hidupan Liar

22/05/2025 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bersetuju memperkukuh kerjasama dalam melindungi hidupan liar di negara ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata konflik antara manusia dan hidupan liar antara perkara disentuh dalam mesyuarat antara kedua-dua kementerian itu hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

“Hal ini mengambil iktibar daripada insiden anak gajah mati yang berlaku di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli baru-baru ini.

“Kedua-dua kementerian bersetuju untuk memperkukuh lagi kerjasama dalam melindungi hidupan liar. Di bawah kawal selia KKR, saya menegaskan bahawa penggunaan teknologi dalam infrastruktur jalan raya akan diperluas,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

 Beliau berkata sinergi antara kedua-dua kementerian itu amat penting bagi memastikan pembangunan infrastruktur negara dapat dilaksanakan secara telus, efisien dan mampan, tanpa mengabaikan kepentingan rakyat dan alam sekitar.

Selain itu, Nanta berkata isu pengambilan tanah, kawasan rizab jalan (ROW) dan pemajakan tanah di sepanjang lebuh raya juga antara perkara utama yang memerlukan penyelarasan rapi antara kedua-dua kementerian.

Beliau berkata pertemuan berkenaan penting bagi membuka ruang perbincangan menyeluruh melibatkan pelbagai isu di bawah bidang kuasa bersama, khususnya berkaitan pelaksanaan pelbagai projek kerajaan dan komersial yang melibatkan tanah milik kerajaan.

“KKR bertanggungjawab terhadap perancangan, penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur jalan raya serta mengurus ROW, bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Pada masa yang sama, pemajakan tanah di sepanjang lebuh raya untuk tujuan pembangunan pula berada dalam radar kawal selia bersama KKR dan NRES,” katanya.

Nanta berkata NRES pula memainkan peranan penting dalam aspek pengurusan, pewartaan dan kelulusan tanah serta pemeliharaan sumber semula jadi termasuk urusan hak milik tanah, kebenaran merancang dan aspek kelestarian alam sekitar. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan