AM > BERITA

Dapur Digital Bantu Usahawan Wanita, Belia Jana Pendapatan - Ewon

22/05/2025 05:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Program Dapur Digital membuka ruang kepada usahawan kecil, khususnya wanita dan belia menjana pendapatan melalui platform digital, selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata inisiatif yang dilaksanakan di bawah Program MicroCredential Dapur Digital itu, seiring dengan matlamat kerajaan untuk membina masyarakat yang berdaya tahan, celik teknologi dan berdikari dalam dunia ekonomi moden.

“Program ini juga membuka pintu kepada transformasi kehidupan. Saya difahamkan para peserta kini berupaya memiliki perniagaan sendiri, menjana pendapatan yang lebih stabil dan lebih penting menjadi pemimpin dalam ekosistem ekonomi komuniti masing-masing.

“Sebagai contoh, seorang suri rumah sepenuh masa kini mampu menjana hingga RM5,000 sebulan melalui perniagaan dapur digital (cloud kitchen) hasil daripada program ini. Ia bukan suatu pencapaian kecil tetapi ini adalah perubahan besar yang meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya semasa merasmikan Majlis Graduasi Program MicroCredential Dapur Digital di UNITAR International University hari ini.

Beliau berkata inisiatif sebegitu perlu diperluas dan disokong agar lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat ekonomi digital sekali gus merealisasikan visi Malaysia sebagai negara maju yang inklusif dan progresif di bawah Kerajaan MADANI.

Ewon berkata kerajaan melalui kerangka Malaysia MADANI sentiasa berusaha memperkasakan rakyat, dengan memberi tumpuan kepada nilai keadilan, keterangkuman dan kemampanan.

“Dalam semangat ini, kerajaan menyokong sepenuhnya pelaksanaan program ini sebagai satu inisiatif inovatif yang memberi peluang kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah untuk memanfaatkan teknologi digital dalam saling melengkapi kemahiran bidang kulinari,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 46 peserta menerima sijil graduasi bagi program itu yang dianjurkan dengan kerjasama UNITAR International University, Pepper Labs dan Yayasan Hasanah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan