AM > BERITA

ASEAN 2025: Penutupan Jalan Secara Berperingkat Di Kawasan KLIA, TUDM Subang

22/05/2025 04:11 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Beberapa laluan di Selangor akan ditutup secara berperingkat bagi memastikan kelancaran serta keselamatan pergerakan pemimpin dan delegasi bersempena dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 pada 25 dan 26 Mei ini. 

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ia melibatkan laluan dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke arah Lebuhraya KLIA Extension, Plaza Tol KLIA-Lebuhraya Elite, susur masuk Putrajaya, susur masuk Lebuhraya MEX dan Hentian Rehat & Rawat (R&R) Seri Kembangan, Lebuhraya MEX pada Ahad dan Isnin ini.

Bagi pergerakan delegasi melalui Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, ia melibatkan laluan TUDM Subang-Jalan Monford-Lebuhraya GCE, Plaza Tol Shah Alam-Lebuhraya NKVE, susur keluar Kilometer (KM) 22 NKVE-Lebuhraya Utara Selatan dan sempadan Selangor-Kuala Lumpur (KM 25.1 Pintu Gerbang).

“Laluan akan dibuka semula secara berperingkat sebaik sahaja konvoi delegasi melepasi setiap susur yang terlibat, namun tumpuan penutupan penuh hanya di pusat bandar raya menghala ke tempat persidangan, iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Hussein menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi arahan petugas keselamatan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan