AM > BERITA

DUN Sarawak Lantik Semula Ahmad Ibrahim Sebagai Senator

22/05/2025 01:07 PM

KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebulat suara memilih Senator Datuk Ahmad Ibrahim untuk menyambung khidmat sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Sarawak bagi penggal kedua.

Cadangan dikemukakan Timbalan Premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan disokong oleh seorang lagi Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Ahmad, 55, dilantik sebagai Senator berkuat kuasa pada 22 Julai 2022 hingga 21 Julai 2025.

Anak kelahiran Kanowit itu telah bergiat aktif dalam politik menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sejak 1996 dan kini merupakan Pengerusi Cawangan PBB Batu Kawa serta Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak.

Beliau juga memegang jawatan Naib Presiden Majlis Senator Malaysia.

Ahmad pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dari 2016 hingga 2023 dan memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif pembangunan setempat termasuk acara tahunan seperti Padawan Raft Safari dan Pesta Telaga Air.

Beliau turut aktif dalam pertubuhan belia seperti Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Persatuan Melanau Miri serta Sarawak Dayak Graduates Association (SDGA).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan