AM > BERITA

SPRM Sentiasa Beri Hak Sama Rata Kepada Pegawai Wanita - Azam Baki

21/05/2025 11:13 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa memberi hak sama rata kepada pegawai wanita dalam kemajuan kerjaya mereka di suruhanjaya itu, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Azam berkata beliau percaya golongan itu mampu menjadi pemimpin yang baik dan berani menyuarakan pendapat serta pandangan dalam membangunkan organisasi, masyarakat dan negara.

“Setiap wanita di SPRM mesti mempunyai semangat, harapan dan aspirasi baharu yang akan menjadi satu legasi contoh serta teladan. Wanita hebat bukan kerana dia sempurna, tetapi kerana dia tidak pernah berhenti berusaha menjadi lebih baik setiap hari,” katanya seperti dipetik dalam hantaran SPRM di Facebook.

Menurut hantaran itu, Azam berkata demikian dalam ucapannya sebelum merasmikan sambutan Hari Wanita SPRM 2025 di Auditorium SPRM hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) SPRM Puan Sri Normah Mohd Zin dan barisan kepimpinan SPRM. 

Sementara itu, Normah dalam ucapannya pada majlis itu menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai wanita atas dedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Saya berharap sambutan ini dapat menyemarak dan memperkasakan peranan penting wanita sebagai pemimpin dalam keluarga, masyarakat serta negara,” katanya seperti dipetik dalam hantaran sama.

Menurut hantaran itu, sambutan berkenaan turut menyaksikan penganugerahan Tokoh Srikandi PUSPANITA SPRM Tahun 2025 yang diberikan kepada pesara Halimah Md Shariff.

Anugerah yang julung kali diperkenalkan itu adalah bagi mengiktiraf sumbangan dan kejayaan pegawai wanita sama ada dari segi kerjaya, pembangunan keluarga, sahsiah diri dan penglibatan dalam bidang-bidang tertentu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan