KOTA BHARU, 21 Mei (Bernama) -- Penggerak Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) diseru memastikan setiap program yang dilaksanakan mengutamakan pembangunan insan dan pengembangan potensi setiap ahlinya di semua peringkat dengan tumpuan terhadap golongan muda.
Yang Dipertua PPPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sehingga kini PPPM berjaya memanfaatkan kekuatan utama dalam jaringan hubungan, kerjasama, kesatuan dan inklusif.
"Saya amat berharap jaringan kolaborasi yang telah terjalin diteruskan dan ditingkatkan lagi pada masa hadapan untuk lebih banyak program bermanfaat demi kemajuan dan kebaikan kita semua.
"Saya mewakili PPPM turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan strategik yang turut terlibat terutama Istana Negara, kerajaan Kelantan, Ibu Pejabat Pembangunan dan Negeri (ICU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Istana Kelantan dan lain-lain pihak," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama Wan Azizah, di sini, malam ini.
Turut berangkat adinda Sultan Kelantan Tengku Amalin A'ishah Putri Sultan Ismail Petra yang juga Yang Dipertua PPPM Cawangan Kelantan.
Isteri Perdana Menteri turut menyeru penggerak supaya menjaga persatuan dengan meneruskan usaha murni dan niat yang positif untuk mengangkat PPPM ke tahap lebih tinggi.
"Banyakkan program dan aktiviti yang bermanfaat dan libatkan ramai lagi pihak untuk mengoptimumkan sumber yang ada, seterusnya tingkatkan kesatuan dan kerjasama sesama kita," katanya.
Majlis berkenaan diadakan sebagai penghargaan dan simbolik kejayaan penganjuran Persidangan dan Mesyuarat Agung Tahunan ke-60 PPPM yang berlangsung selama empat hari bermula 19 Mei lepas hingga esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial