KUCHING, 21 Mei (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah meluluskan Rang Undang-Undang (Pembubaran) Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur, 2025, yang bertujuan untuk membubarkan tabung tersebut.
Ketika membentangkan rang undang-undang berkenaan, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata objektif utama tabung yang mula beroperasi pada Jun 1987 itu adalah untuk membantu individu, kumpulan pemaju, pelabur atau entiti swasta yang menjalankan pembangunan tanah bagi tujuan perumahan, komersial atau perindustrian.
Beliau berkata penubuhan tabung amanah tersebut telah membantu meringankan bebanan modal permulaan yang tinggi untuk pembangunan infrastruktur daripada pemaju yang terlibat dalam pelan pembangunan baharu yang diluluskan.
Uggah, yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, berkata bahawa tabung itu juga membolehkan pemaju mempercepatkan pelaksanaan serta memastikan pelaksanaan projek pembangunan yang diluluskan berjalan lancar dan kos efektif.
“Dalam lanskap ekonomi masa kini, pemaju swasta adalah kuat dari segi kewangan dan mampu melaksanakan projek pembangunan dengan kemungkinan tinggi memperoleh pembiayaan daripada bank.
“Selain itu, sepanjang tahun-tahun ini, Kerajaan Sarawak telah memperkukuhkan kapasiti fiskal dengan ketara, dan tadbir urus bajet kami menjadi lebih tersusun dan strategik, membolehkan peruntukan yang lebih besar bagi pembangunan infrastruktur asas di seluruh Sarawak.
“Oleh itu, mengekalkan tabung amanah ini sudah tidak relevan kerana ia telah melebihi tujuan asalnya,” katanya sambil menambah bahawa semua wang dalam tabung amanah tersebut, tertakluk kepada arahan Setiausaha Kewangan Negeri, akan dipindahkan ke dalam Tabung Konsolidasi Negeri.
Seramai lapan Ahli DUN mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai rang undang-undang tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial