KANGAR, 20 Mei (Bernama) -- Perkhidmatan choley iaitu kenderaan berhias berasaskan motosikal yang diubah suai di Kampung Warna Warni, Kuala Perlis dekat sini akan diperluas hingga ke kawasan sekitar Terminal Feri Kuala Perlis dalam usaha memperkukuh identiti pelancongan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata pendekatan itu selaras saranan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail supaya choley dijadikan ‘trademark’ atau antara simbol pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025 yang akan dilanjutkan hingga 2026.
“Kalau Melaka dikenali dengan beca, Perlis pula kita ketengahkan choley. Ini ilham Tuanku Raja Muda. Kita akan perluaskan dari 30 unit sedia ada di Kampung Warna Warni kepada 100 unit di kawasan strategik seperti di Terminal Feri Kuala Perlis,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan awal perkhidmatan choley di kawasan Terminal Feri Kuala Perlis dekat sini hari ini.
Abu Bakar berkata choley berpotensi menjadi pengangkutan santai kepada pelancong yang tiba lebih awal sebelum menaiki feri ke Langkawi atau yang menunggu masa pulang ke destinasi masing-masing.
“Perkhidmatan ini akan diselaras mengikut jadual feri dan roro (roll-on, roll-off). Pelancong boleh menaiki choley untuk menikmati pemandangan sekitar Kuala Perlis, bergambar atau mencuba makanan tempatan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan agensi berkaitan bagi memastikan operasi choley tidak mengganggu aliran trafik dan mematuhi peraturan sedia ada.
“Di Kampung Warna Warni, kadar bayaran ialah RM35 bagi satu sesi. Tetapi di kawasan pekan Kuala Perlis, mungkin lebih rendah kerana laluannya lebih singkat, sekitar RM30. Kita percaya choley dapat merancakkan ekonomi tempatan selain membuka peluang pendapatan kepada anak muda yang ingin menceburi bidang ini,” katanya.
Katanya setiap unit choley mampu membawa dua hingga tiga orang dewasa atau dua dewasa bersama dua kanak-kanak yang bergantung kepada saiz penumpang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial