AM > BERITA

Memancing Data, Penipuan Online Mendominasi Landskap Jenayah Siber Global - INTERPOL

20/05/2025 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Penipuan dalam talian dan memancing data atau phishing kekal sebagai ancaman siber paling berleluasa di seluruh dunia, dengan penjenayah menggunakan taktik semakin canggih untuk memperdaya mangsa, kata Pengarah Direktorat Jenayah Siber Interpol Dr Neal Jetton. 

Beliau berkata pemerhatian di seluruh rantau Asia dan dunia mendapati majoriti jenayah siber berpunca daripada serangan kejuruteraan sosial seperti phishing, perisian tebusan (ransomware) dan e-mel perniagaan mengandungi penipuan. 

“Penipuan melibatkan phishing barangkali ancaman siber paling kerap kami perhatikan, bukan hanya di Malaysia atau Asia Pasifik, tetapi di seluruh dunia. 

“Ini lazimnya membabitkan e-mel atau mesej yang kelihatan sah, sama ada berkaitan percintaan, perniagaan atau peluang kewangan,” katanya pada sidang media selepas perasmian program sulung Cyber Games 2025 di sini hari ini. 

Jetton yang berpangkalan di Singapura menekankan bahawa jenayah siber merupakan cabaran serantau dan dunia, dengan sekitar 75 hingga 80 peratus insiden siber di seluruh dunia melibatkan elemen manusia, terutamanya phishing

Phishing adalah kaedah serangan siber apabila penjenayah menyamar sebagai entiti sah melalui e-mel atau mesej bagi memperdaya individu supaya mendedahkan maklumat sensitif seperti kata laluan, perincian kewangan atau data peribadi. 

Keperluan mendesak dalam isu tersebut juga dilihat menerusi statistik Malaysia, apabila insiden perisian tebusan melonjak 78 peratus pada suku keempat 2024, menandakan peningkatan kerumitan dan skala ancaman siber di negara ini. 

Ditanya mengenai keupayaan agensi penguatkuasaan undang-undang Malaysia dalam menangani ancaman siber, Jetton memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas komitmen dan langkah proaktif mereka. 

“Saya pernah beberapa kali berinteraksi dengan polis Malaysia, dan saya boleh berkata dengan sangat positif tentang usaha mereka. Jenayah siber secara umumnya sangat sukar,” katanya. 

Jetton berkata Interpol terus bekerja rapat dengan Malaysia dan berharap kerjasama itu diperluas dalam usaha menangani jenayah siber pada masa depan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan