AM > BERITA

Malaysia Lancar Infrastruktur Strategik AI Secara Rasmi

19/05/2025 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Malaysia telah melancarkan Infrastruktur Strategik Kecerdasan Buatan (AI) secara rasmi, menjadi negara yang pertama di rantau ini untuk mengaktifkan sebuah ekosistem kecerdasan buatan (AI) penuh dan berdaulat.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ini menandakan satu langkah penting dalam pembangunan AI negara, kerana dengan menyetempatkan model bahasa seperti DeepSeek dan hosting servers secara dalaman, ia akan meningkatkan kedaulatan AI dengan memastikan data diproses secara tempatan, sekali gus melindungi privasi pengguna dan keselamatan data.

“Keistimewaan projek ini ialah data akan disimpan di Malaysia, diuruskan rakyat Malaysia, dan juga digunakan oleh rakyat Malaysia, jadi ini adalah bagaimana kita sebenarnya boleh menjaga kedaulatan AI kita.

"(Dengan ini) kini ia tidak lagi seperti cloud atau pusat data berada di luar negara, sebaliknya ia kini di Malaysia - pelayan (server) juga di Malaysia, diuruskan oleh Malaysia, dan ejen AI juga akan dibangunkan oleh rakyat Malaysia. Saya fikir ini adalah bagaimana kita boleh menyetempatkan aplikasi AI di Malaysia," katanya.

Teo berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Strategic AI Infrastructure: Trusted, Sovereign and Global, di sini hari ini.

Teo juga berkata bahawa projek itu menandakan penggunaan pertama cip dan pelayan Huawei, bersama-sama dengan model bahasa besar DeepSeek, di luar China, yang pertama di rantau ini.

"Jadi ini adalah yang pertama di luar China, kita amat berbangga, bermakna dari segi penggunaan AI dan aplikasi AI, Malaysia sememangnya akan menjadi peneraju di ASEAN, dari segi aplikasi dan penggunaan AI," katanya.

Platform yang disifatkan sebagai infrastruktur AI nasional lengkap pertama di negara ini, ia juga direka untuk memperkasakan kerajaan, perniagaan dan universiti, bagi memanfaatkan AI dalam meningkatkan perkhidmatan, meningkatkan produktiviti dan memacu inovasi.

Pada majlis itu Teo turut melancarkan persekitaran AI generatif berdaulat pertama di Malaysia, dikuasakan oleh Pelayan AI AlterMatic DT250, yang menampilkan lapan unit pemprosesan grafik (GPU) terbaik.

Sistem ini menawarkan prestasi 20 peratus lebih tinggi dan 30 peratus penjimatan tenaga berbanding dengan industri yang setara, dan menjadi tuan rumah model bahasa besar sumber terbuka DeepSeek, menjadikannya LLM berdaulat berskala negara pertama yang digunakan di Malaysia.

Pengguna awal platform itu termasuk Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Komunikasi, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Cyberview Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Skyvast dan Leadyo turut mengumumkan pelan hala tuju untuk menggunakan 3,000 GPU termaju merentasi pelbagai zon infrastruktur menjelang 2026, disokong oleh ekosistem rakan kongsi integrasi dan penghantaran AI Malaysia yang semakin berkembang.

Teo turut menyaksikan pelancaran Malaysia-China Trusted Data Zone, koridor dua hala pertama yang menghubungkan Cyberjaya di Malaysia dan China (Shanghai) Pilot Free Trade Zone Lin-gang Special Area, yang disasar untuk membolehkan pembangunan AI merentas sempadan yang lancar melalui infrastruktur, platform inovasi bersama dan integrasi keupayaan digital.

The Malaysia-China Trusted Data Zone dikendalikan oleh Skyvast Data di pihak Malaysia dan Shanghai International Data Port Co Ltd (SHIDP) di pihak China, bagi memastikan penjajaran dan kesinambungan operasi dua hala. 

Ketika ditanya mengapa Malaysia dipilih untuk kerjasama itu, Ketua Pegawai Eksekutif Leadyo Systems Zhang Yifeng berkata ini kerana Malaysia antara yang menawarkan persekitaran perindustrian terbaik di rantau ini.

“Melihat kepada hubungan dua hala yang baik antara China dan Malaysia, serta kesediaan pasaran Malaysia dari segi pembuatan semikonduktor, dari segi kesediaan infrastruktur, serta set kemahiran bakat yang ada di Malaysia.

"… itu sebabnya syarikat seperti Leadyo Systems dan juga Huawei memutuskan untuk memilih Malaysia sebagai negara pertama yang melancarkan GPU (teknologi) canggih sedemikian," katanya. 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Skyvast Data Lim Chee Siong berkata projek Perlis Advanced Tech Park sedang berjalan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.

Beliau berkata Taman Berkembar Digital akan disepadukan ke dalam Perlis Advanced Tech Park apabila siap, manakala fasa reka bentuk zon data boleh dipercayai yang menghubungkan Perlis dan Ling-gang Shanghai telah pun bermula.

"Bagi Cyberjaya, ia sudah pun dimulakan kerana kami telah mengenal pasti kluster pusat data yang dipetakan ke dalam Lin-gang Shanghai," tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan