KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Malaysia melalui Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan membantu Arab Saudi membangunkan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NOSHI) negara itu yang baharu ditubuhkan.
NIOSH dalam kenyataan memaklumkan Memorandum Persefahaman(MoU) kerjasama strategik itu dimeterai bersama Majlis Kebangsaan bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NCOSH) Arab Saudi pada Persidangan Global Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ketujuh di Riyadh, Arab Saudi yang berlangsung dari 4 hingga 6 Mei.
NIOSH memaklumkan MoU tersebut antara pencapaian utama pada kongres itu, dengan delegasi Malaysia diketuai pengarah eksekutif NIOSH Datuk Ayop Salleh.
“MoU ini membuka ruang kerjasama strategik dalam pembinaan keupayaan institusi, pertukaran kepakaran, pembangunan latihan, perkhidmatan perundingan serta inisiatif penyelidikan bersama,” menurut kenyataan itu di sini hari ini
NIOSH turut menyatakan komitmen untuk menyokong penubuhan dan pembangunan NOSHI serta berharap kerjasama dengan Arab Saudi dapat diteruskan secara bermakna dan berimpak tinggi pada masa hadapan.
Selain itu NIOSH memaklumkan delegasi Malaysia pada kongres itu juga mewakili komitmen negara dalam memperkukuh amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) melalui kerjasama antarabangsa.
Kenyataan sama memaklumkan penglibatan Ayop sebagai panelis jemputan bagi dua sesi utama kongres itu, mencerminkan peranan Malaysia semakin diiktiraf dalam landskap KKP antarabangsa khususnya dalam usaha menyelaras dasar KKP dengan keperluan industri, pembangunan tenaga kerja mampan dan piawaian global.
“NIOSH merakamkan penghargaan kepada NCOSH Arab Saudi atas sambutan mesra dan penganjuran kongres yang cemerlang. Pengalaman ini mengukuhkan lagi hubungan dua hala serta memperlihatkan komitmen bersama ke arah mewujudkan persekitaran pekerjaan lebih selamat, sihat dan produktif,” menurut kenyataan itu.
Persidangan itu menghimpunkan pemimpin, pengamal serta pihak berkepentingan dalam bidang KKP dari seluruh dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial