AM > BERITA

KPF Perkenal Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan, Perkukuh Kedudukan Institusi

17/05/2025 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bergambar) -- Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) hari ini memperkenalkan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan bagi terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi koperasi yang berdaya tahan dan berwibawa.

Pengerusi KPF Datuk Mohd Banuri Aris berkata pelan berteraskan tiga strategi utama itu bertujuan memastikan institusi tersebut kekal mampan dan memenuhi komitmen kepada anggota sekali gus mengembalikan semula keyakinan mereka.

"Pertama, strategi ini melibatkan penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2025. Kedua, pelupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan dan ketiga, penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu. 

"Langkah ini bukan sahaja bertujuan menjana semula aliran tunai tetapi juga membuka laluan kepada model perniagaan yang lebih lestari serta berdaya saing dalam jangka masa panjang," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Beliau berkata walaupun berdepan permintaan tinggi terhadap pengeluaran syer, KPF kekal komited menunaikan tanggungjawab kepada anggota dengan menerima 29,159 permohonan pengeluaran syer bernilai RM691.58 juta bagi tempoh 2022 hingga April tahun ini.

Mohd Banuri berkata daripada angka itu 18,783 permohonan melibatkan nilai RM319.44 juta telah berjaya diproses dan dibayar kepada anggota, manakala baki 10,376 permohonan berjumlah kira-kira RM372 juta akan diselesaikan secara berfasa mengikut keutamaan. 

"Bayaran pengeluaran syer dilaksanakan berperingkat mengikut konsep penggiliran. Keutamaan diberikan kepada permohonan melibatkan keperluan kritikal seperti ibadah haji, umrah, rawatan perubatan, pendidikan, kes mahkamah serta situasi mendesak lain yang dipertimbangkan secara teliti oleh lembaga," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada FELDA, khususnya Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek atas kepercayaan dan kerjasama strategik yang diberi termasuk pelantikan KPF sebagai ejen tunggal pembelian Buah Tandan Segar (BTS) dan pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) di seluruh rancangan FELDA.

Beliau berkata KPF berjaya mengekalkan prestasi kewangan yang stabil tanpa mencatatkan kerugian sejak penubuhannya pada tahun 1980 dan ia membuktikan keupayaan pengurusannya serta asas ekonomi yang kukuh.

Pada masa sama, beliau mengajak kira-kira 253,000 ahli aktif KPF khususnya golongan peneroka untuk terus menyokong agenda pemulihan koperasi dengan mengikuti perkembangan institusi itu dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan