AM > BERITA

KWAP Jadikan Kampung Kandis Lokasi Program Santuni MADANI, Perkasa Komuniti Luar Bandar

16/05/2025 08:37 PM

BACHOK, 16 Mei (Bernama) -- Kampung Kandis di sini dipilih sebagai lokasi pelaksanaan Program Santuni MADANI berdasarkan keperluan sokongan sosial serta potensinya, bagi memperkasa komuniti luar bandar menerusi kerjasama pelbagai pihak.

Program itu telah diadakan di Kampung Kandis, iaitu kampung tajaan KWAP, yang merupakan salah satu daripada lapan kampung di dalam mukim Kandis yang menempatkan kira-kira 4,000 penduduk secara keseluruhannya.

Antara inisiatif awal yang dilaksanakan termasuk penyerahan sebuah unit van jenazah bagi kegunaan penduduk setempat serta pengagihan 100 unit pek MyPesara Prihatin yang mengandungi barangan keperluan asas kepada pesara kerajaan, asnaf dan golongan kurang berkemampuan.

Van jenazah ini merupakan sumbangan dana zakat wakalah hasil daripada pembayaran zakat pendapatan warga kerja KWAP yang mencarum kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Program itu dihadiri lebih 500 penduduk tempatan, disemarakkan dengan pelbagai aktiviti bersama sukarelawan yang terdiri daripada petugas KWAP, sekali gus memupuk semangat kekitaan, kebersamaan serta perpaduan.

Selain bantuan sosial, KWAP merancang meneruskan program secara berperingkat sepanjang tahun, yang bakal melibatkan kerjasama strategik bersama pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah Bachok, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), badan bukan kerajaan (NGO) serta persatuan pesara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed ketika ditemui di sini berkata KWAP melihat tanggungjawab sosial sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan negara.

Beliau berkata inisiatif seperti ini bukan sahaja membawa manfaat kepada komuniti setempat, tetapi juga memperkukuh hubungan antara organisasi seperti KWAP dengan rakyat dalam mendukung semangat Malaysia MADANI.

“Kami juga amat menghargai sokongan dan kerjasama erat yang telah diberikan oleh ketua-ketua kampung serta guru-guru besar di Daerah Bachok, yang menjadi penggerak utama kejayaan awal program ini.

“Diharapkan lebih ramai pihak akan turut sama menyertai usaha-usaha seumpama ini demi manfaat bersama," katanya.

Program Santuni MADANI yang berorientasikan semangat 'Satu Pemimpin, Satu Kampung' bertujuan memperkaya sikap cakna pemimpin dalam menyantuni dan menjadi teladan kepada penduduk kampung kelahiran, tempat membesar masing-masing atau kampung yang dipilih.

KWAP juga telah melaksanakan program Sekolah Angkat MADANI yang dihadiri lebih 300 murid, ibu bapa dan guru-guru menerusi saluran sumbangan kepada 10 sekolah rendah terpilih di daerah Bachok yang memanfaatkan lebih 4,300 pelajar.

Setiap sekolah menerima sumbangan satu unit televisyen (TV) pintar dan satu unit alat penghawa dingin bagi membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran, di samping mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih selesa serta kondusif.

Sekolah terpilih dalam daerah Bachok yang menerima manfaat melalui program Sekolah Angkat MADANI adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol, SK Bakong SK Bekelam, SK Gunong, SK Kandis, SK Keting, SK Kubang Golok, SK Kubang Telaga, SK Kuchelong dan SK Sri Kemunting.

Sebanyak 1,000 unit pek kelengkapan sekolah (Back-To-School) turut diagihkan kepada pelajar terpilih bagi membantu persiapan mereka untuk ke sekolah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan