KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Kerajaan komited mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya menerusi Pendekatan Sistem Selamat dengan pegeluar kereta, seperti Proton yang memainkan peranan penting dalam memastikan kenderaan yang lebih selamat di jalan raya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata usaha Proton selari dengan objektif kerajaan di bawah Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030, sambil menyokong matlamat jangka panjang negara dalam pengurangan karbon.
"Aspek utama dalam Pendekatan Sistem Selamat ialah memastikan kenderaan di jalan raya lebih selamat. Di sinilah pengeluar kereta, seperti Proton memainkan peranan penting dalam mengukuhkan agenda keselamatan jalan raya.
"Kebebasan mobiliti sendiri datang dengan tanggungjawab, untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan kewajiban terhadap keluarga untuk menghantar mereka ke destinasi dengan selamat," katanya ketika melancarkan Program Proton XChange di sini hari ini.
Menerusi program itu, Loke berkata pemilik akan menerima insentif RM2,000 apabila menukar kereta lama kepada model baharu Proton yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan lebih baik.
"Saya difahamkan bahawa insentif ini bukan sahaja terpakai kepada kenderaan Proton berusia 15 tahun atau lebih, tetapi juga kepada semua kenderaan yang tidak boleh dibaiki lagi. Ia akan mengeluarkan kereta yang tidak selamat dari jalan raya serta kenderaan terbiar di tepi jalan, masalah utama yang sering dibangkitkan pihak berkuasa tempatan.
"Ia juga akan menjadikan jalan raya kita lebih selamat kerana kenderaan berusia yang tidak lagi layak digunakan dan gagal mencapai standard keselamatan terkini telah dikeluarkan," katanya.
Selaras dengan sasaran Malaysia untuk menjadi negara karbon sifar bersih menjelang 2050, Loke turut memuji perkembangan Proton ke arah mobiliti elektrik.
"Saya difahamkan bahawa Program Proton XChange turut terpakai bagi pembelian kenderaan elektrik eMAS, sejajar dengan matlamat penyahkarbonan Malaysia.
"Pengeluaran, penjualan dan penggunaan kenderaan enjin pembakaran dalaman menyumbang dengan ketara kepada pelepasan karbon. Kerajaan tidak dapat mencapai sasaran ini tanpa komitmen industri automotif terhadap mobiliti hijau," katanya.
Loke turut mengetengahkan penggunaan tenaga solar di kilang Proton di Tanjung Malim, Perak dan rancangan untuk membangunkan Lembah Teknologi Tinggi Automatif kepada hab serantau untuk kenderaan generasi baharu, dan menyifatkan pengeluar kereta nasional itu menetapkan penanda aras kepada Pengeluar Peralatan Asas (OEM) yang lain.
"Sebab itulah Kementerian Pengangkutan menyokong inisiatif Program XChange dan menggalakkan OEM lain untuk mengikuti contoh Proton, bukan sekadar mengejar jualan dan keuntungan, tetapi juga memainkan peranan aktif dalam membangunkan ekosistem pengangkutan negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial