AM > BERITA

Nahas FRU: Undang-undang Sedia Ada Mencukupi, Pelaksanaan Perlu Ditingkatkan - Ahmad Zahid

15/05/2025 09:37 PM

PUTRAJAYA, 15 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata undang-undang sedia ada mencukupi untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pemilik syarikat atau kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak, Selasa lepas.

Beliau berkata yang penting ialah pelaksanaan undang-undang tersebut perlu ditingkatkan secara tegas.

Timbalan Perdana Menteri berkata pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan itu telah direman selama empat hari dan siasatan dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Namun untuk tuan punya syarikat atau lori itu, siasatan akan dilakukan melalui Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) dan terletak di bawah Akta Pengangkutan Jalan.

“(Jadi) kita serahkan kepada pihak Kementerian Pengangkutan melalui JPJ Dan Puspakom untuk melakukan siasatan," katanya kepada media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2024, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika ditanya mengenai keperluan untuk meminda undang-undang untuk membolehkan selain pemandu, pihak syarikat kenderaan terlibat dalam nahas jalan raya turut dipertanggungjawabkan.

Dalam kemalangan 8.50 pagi Selasa, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak pasukan mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan