AM > BERITA

Lima Sekolah Di Sepang Terima RM100,000 Bagi Projek Transformasi Ruang

14/05/2025 05:02 PM

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Sebanyak RM100,000 disalurkan kepada lima sekolah dalam kawasan Parlimen Sepang, Selangor bagi projek transformasi ruang sekolah di bawah inisiatif Projek Mesra Rakyat.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pelek, Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil, SK Tanjong Sepat, SK Kota Warisan dan SK Cyberjaya.

Peruntukan itu disalurkan menerusi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sepang dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensinya Urbanice Malaysia.

Urbanice Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif tersebut adalah seiring aspirasi KPKT untuk membawa elemen pembangunan mampan dan inklusif kepada komuniti melalui pendekatan berfokus rakyat.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa pendekatan berimpak tinggi tidak semestinya memerlukan perubahan besar, tetapi boleh dicapai menerusi transformasi mikro yang berstrategi dan kreatif, dengan tumpuan kepada keperluan sebenar murid dan guru,” menurut kenyataan itu.

Sumbangan itu diserahkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu yang juga Ahli Parlimen Sepang di SMK Sungai Pelek hari ini.

Aiman Athirah dalam kenyataan sama berkata inisiatif itu mencerminkan hasrat KPKT untuk memastikan pembangunan fizikal menyokong pembangunan insan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Transformasi sebegini bukan sahaja memberi wajah baharu kepada ruang sekolah, tetapi lebih penting, mengubah cara murid berinteraksi dan melihat ruang sekeliling mereka. 

“Apabila murid rasa dihargai, pembelajaran menjadi lebih bermakna. Ini adalah asas kepada komuniti yang maju dan berdaya saing,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan di sekolah terlibat ialah kerja-kerja naik taraf bagi menyediakan ruang pembelajaran fleksibel, mengindahkan ruang dengan elemen matlamat pembangunan mampan (SDG) dan pembinaan taman permainan mini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan