PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan 11.5 peratus iaitu 93,500 kelahiran pada suku pertama tahun ini berbanding 105,613 kelahiran pada tempoh sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan Perangkaan Demografi yang dikeluarkan hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 48,124 kelahiran berbanding 45,376 kelahiran, dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
“Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 43 bayi bagi setiap jam dan 1,039 bayi sehari pada suku pertama 2025,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 18,254 kelahiran manakala kelahiran hidup terendah dicatatkan di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 278 kelahiran.
Dari segi etnik, Mohd Uzir berkata etnik Melayu menyumbang 68.8 peratus atau 64,326 kelahiran hidup daripada jumlah keseluruhan pada suku pertama tahun ini berbanding 67.5 peratus dalam tempoh sama tahun lepas.
Kelahiran hidup bagi etnik Cina dan India pula masing-masing menurun kepada 8.6 peratus dan 3.8 peratus berbanding 9.6 peratus dan 4.2 peratus yang dicatatkan pada suku pertama 2024.
Beliau berkata seiring penurunan kelahiran pada suku tahun pertama tahun ini, penduduk Malaysia dianggarkan 34.2 juta berbanding 33.9 juta pada tempoh sama tahun lepas, dengan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 0.9 peratus berbanding 2.0 peratus pada suku pertama 2024.
Selain itu Mohd Uzir berkata 48,130 kematian direkodkan pada suku pertama 2025, iaitu penurunan dua peratus berbanding 49,117 kematian bagi tempoh sama pada tahun lepas.
Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,710 kematian manakala bilangan terendah direkodkan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 84 kematian.
Mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, beliau berkata DOSM akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15), yang bertujuan memperkukuh kerjasama statistik ke arah pembangunan serantau yang mampan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial