AM > BERITA

Nahas Trak Fru: Anak Istimewa Kehilangan Tempat Mengadu Kasih

13/05/2025 07:23 PM

TELUK INTAN, 13 Mei (Bernama) --  Kemalangan jalan raya yang meragut nyawa Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini pagi tadi, bukan sahaja satu kehilangan besar kepada pasukannya, malah turut memadamkan sinar kebahagiaan tiga anaknya, khususnya anak sulungnya yang menghidap sindrom Down.

Kakak ipar Allahyarham yang enggan dikenali berkata Mohd Roslan merupakan seorang bapa penyayang dan sangat rapat dengan anak sulungnya, Muhd Raqin Najmi, 13, selain dua lagi anak masing-masing berusia sembilan dan enam tahun.

“Muhd Raqin sangat manja dan rapat dengan arwah. Biasanya, arwah akan tidur bersama anak-anak dan sentiasa meluangkan masa bermain dengan mereka.

“Saya tidak dapat bayangkan penerimaan Muhd Raqin apabila dia menyedari ayahnya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan.

Muhd Raqin yang hadir bersama ibunya di jabatan itu kelihatan terpinga-pinga melihat kehadiran begitu ramai orang di situ yang terdiri daripada waris serta rakan-rakan sekerja bapanya dan anak istimewa itu mungkin masih belum menyedari bahawa dia telah kehilangan seorang daripada insan yang amat disayanginya.

Mohd Roslan merupakan salah seorang daripada sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang disahkan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan trak FRU dinaiki 18 anggota termasuk pemandu dan sebuah lori membawa muatan batu.

Sementara itu bagi Pandak Rompan, 71, belum terubat rasa sakit akibat kehilangan cucu lelaki tahun lepas akibat sakit jantung, hari ini dia diuji pula dengan pemergian anak ketiganya Koperal Nurit Pandak, 34, dalam kemalangan itu.

Pandak berkata beliau menerima panggilan mengenai kejadian yang menimpa anak ketiganya itu pada 10 pagi tadi ketika sedang berehat di rumahnya di Kampar.

Walaupun terkejut dan sedih dengan kejadian itu, namun sebagai seorang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pandak tetap berbangga dengan anaknya yang terkorban selepas menjalankan tugas.

Beliau berkata mendiang berkhidmat dalam PDRM lebih 10 tahun dan pernah bertugas di Cheras, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Markas FRU Unit 5 Sungai Senam di Ipoh.

Beliau menyifatkan Nurit sebagai anak yang bertanggungjawab, ceria dan rapat dengan ahli keluarga termasuk empat adik-beradik yang lain.

Mengenai urusan pengebumian, beliau berkata mendiang anaknya itu akan dikebumikan di Kampung Orang Asli Bukit Terang di Kampar selepas urusan bedah siasat selesai.

Sahal Zabri, 35, adik kepada seorang lagi mangsa yang terkorban, Koperal Amiruddin Zabri, 38, berkata keluarganya masih terkejut dengan berita kematian abangnya yang sebelum ini bertugas sebagai anggota polis biasa sebelum menyertai FRU.

“ Sebelum kejadian, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang tanda atau kelakuan pelik, jadi berita kematiannya amat mengejut ahli keluarga,” katanya yang turut memaklumkan jenazah abangnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Itek, Gopeng.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam ketika dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Hari Wesak di sini.

Kesemua mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.

Pagi tadi Ketua Polis Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, semasa konvoi pasukan itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di sini.

Semua mayat terlibat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan