KUCHING, 13 Mei (Bernama) -- Sarawak sedang menyediakan peraturan dan garis panduan bagi industri hidrogen di negeri ini yang disasar untuk siap menjelang akhir tahun ini.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha itu kini dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri.
“Peraturan yang jelas mengenai perkara ini akan memberikan keyakinan kepada pelabur, pengendali dan orang ramai - memastikan ekonomi hidrogen berkembang dengan selamat, tersusun dan mampan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Forum Ekonomi Hidrogen 2025 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata ketika projek hidrogen terus berkembang di seluruh Sarawak, kerajaan negeri telah mengambil langkah berani untuk memastikan pembangunan yang selamat dan bertanggungjawab bagi industri baru muncul ini.
Beliau berkata pada 11 Nov 2024, Sarawak mencipta sejarah tersendiri apabila meluluskan Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), yang kini merangkumi peruntukan khusus untuk mengawal selia aktiviti berkaitan hidrogen.
“Pindaan ini antaranya adalah berkaitan pembangunan, penjanaan, pengedaran dan penggunaan hidrogen sebagai sebahagian daripada peralihan tenaga bersih kita. Ia memperkenalkan bentuk-bentuk kesalahan dan hukuman baharu yang berkaitan dengan aktiviti hidrogen, dan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengenakan kadar, levi atau caj yang berkaitan ke atas operasi hidrogen.
“Saya berbesar hati untuk memaklumkan bahawa ordinan ini berkuat kuasa pada 1 Mac 2025, dan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri telah diamanahkan untuk menyelia pelaksanaannya,” katanya.
Sementara itu Abang Johari berkata dalam mengiktiraf peranan kritikal tenaga bersih, Sarawak melancarkan Hab Hidrogen Sarawak awal tahun lepas, sekali gus mengukuhkan komitmennya terhadap peralihan tenaga.
“Inisiatif hidrogen hijau berskala besar utama kami - projek H2ornbill dan H2biscus - sedang berjalan dengan baik dan dijangka menyiapkan Reka Bentuk Kejuruteraan Front-End mereka menjelang akhir tahun ini.
“Selain itu satu lagi hab hidrogen sedang dirancang di Kuching, yang akan mengukuhkan lagi kapasiti untuk menerajui ekonomi hidrogen Asia Tenggara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial