AM > BERITA

Malaysia Seru Kerjasama Global Lindungi Kebajikan Pekerja

12/05/2025 09:00 PM

PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Malaysia menekankan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam perkongsian idea, amalan terbaik dan dasar bagi melindungi kebajikan pekerja pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Sumber Manusia APEC ketujuh (HRDMM) di Jeju, Korea Selatan hari ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim dalam ucapannya pada mesyuarat berkenaan berkata kebajikan pekerja adalah elemen penting dan tidak boleh diketepikan dalam agenda kerajaan Malaysia.

“Saya amat menghargai peluang untuk terus memperoleh ilmu dan pandangan daripada rakan-rakan di ASEAN serta negara lain. Malah melalui mesyuarat ini, saya mendapat manfaat daripada pengalaman ekonomi anggota lain dalam merangka dasar berkaitan pekerja, sebagai persediaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig tahun ini,” katanya.

Sim berkata platform seperti Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) seharusnya memainkan peranan lebih aktif dalam memudahkan pertukaran pengetahuan dan amalan secara formal dalam kalangan ekonomi anggota.

Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan berasaskan data dalam memahami trend pasaran pekerjaan.

“Contohnya, laporan impak Malaysia yang saya rujuk hari ini menghuraikan jenis pekerjaan yang terjejas dalam pelbagai sektor akibat trend ekonomi baharu, sekali gus membolehkan kerajaan merangka campur tangan dasar lebih berkesan,” katanya.

Sim turut mengetengahkan laporan dikeluarkan TalentCorp, sebuah badan pemikir strategik di bawah Kementerian Sumber Manusia bertajuk Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau terhadap Pekerja Malaysia.

“Semasa meneliti isu ini, kita mendapati pekerja warganegara kita tidak digantikan oleh pekerja asing, tetapi oleh komputer dan perisian komputer yang kebanyakannya dihasilkan di negara sendiri,” katanya.

Sim menyeru agar komitmen tidak berbelah bahagi diberikan dalam melindungi hak dan kebajikan pekerja, selain menggesa semua ekonomi untuk mempertahankan prinsip ini termasuk dalam urusan perdagangan dan pelaburan.

“Tiada perjanjian perniagaan yang patut mengorbankan kebajikan pekerja dan tiada ekonomi patut dihukum kerana mengutamakan perlindungan pekerja,” katanya.

Sim mengetuai delegasi Malaysia ke HRDMM di Jeju, iaitu penganjuran pertama selepas 11 tahun dengan edisi terakhir diadakan di Vietnam pada 2014.

Mesyuarat berkenaan diadakan bersempena dengan APEC yang bertemakan “Kemampanan Pasaran buruh dan Pekerjaan Masa Hadapan’.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan